Tak pernah tutup hati, Nash mencari peneman usia emas - Utusan Malaysia

Tak pernah tutup hati, Nash mencari peneman usia emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Dua kali gagal dalam perkahwinan, pada usia ini saya mencari peneman untuk melalui usia emas bersama. Tidaklah saya menutup hati.”

Demikian luahan penyanyi legenda, Datuk Nash apabila ditanya tentang keterbukaan untuk mendirikan rumah tangga selepas 14 tahun hidup menduda.

Mengakui selektif dalam memilih pasangan hidup, dedah Nash, dia pernah memutuskan hubungan dengan seseorang berikutan tiada keserasian baru-baru ini.

“Pada usia ini saya nak cari peneman untuk hidup bersama-sama hingga ke akhirnya. Cuma saya mahu wanita itu memahami karier saya sebagai penyanyi dan saling menghormati antara satu sama lain.

“Sepanjang 14 tahun ini pun saya tak pernah menutup pintu hati. Adalah juga rapat dengan seorang kenalan tapi selepas mula serius dan rapat, akhirnya saya sedar kami tiada keserasian.

“Kisahnya bermula selepas dia meluahkan rasa cemburu yang ditunjukkan ketika saya muncul dalam sebuah program televisyen, itu buat saya tawar hati untuk meneruskan hubungan kami,” katanya.

Vokalis kumpulan Lefthanded itu ditemui selepas pelancaran Umrah I’tikaf Ramadan 2024 Bersama Datuk Nash anjuran AsShams Travel & Tours Sdn. Bhd semalam.

Dalam pada itu, Nash mengakui dia kecewa selepas hasrat untuk lebih serius dalam sesebuah perhubungan kecundang di tengah jalan namun dia percaya semua itu takdir yang telah tertulis.

Malah, bapa kepada empat orang anak juga tidak berasa sunyi kerana kesibukan mengendalikan kerjaya nyanyian dan mengikuti program jemaah tabligh.

“Memang sedih dan kecewa, tetapi kena jujur dengan diri sendiri supaya tidak menyesal atau menyalahkan satu sama lain di kemudian hari.

“Saya anggap tiada jodoh. Kalau nak kata sunyi tidaklah, saya selalu ditemani anak dan lapan orang cucu. Meriah dengan pelbagai aktiviti kalau dengan mereka. Saya pun aktif ambil tawaran.

Untuk info, Nash mendirikan rumah tangga dengan Hayati Mohd. Yusof pada 1996 dan dikurniakan empat anak termasuk seorang anak angkat.

Selepas berpisah, penyanyi itu mendirikan rumah tangga dengan usahawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati.

Sementara itu, mengenai pelantikan sebagai duta Umrah I’tikaf Ramadan, kata vokalis Lefthanded itu, dia bakal menunaikan ibadah selama 40 hari di Tanah Suci sekali gus meraikan 1 Syawal di sana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN