PETALING JAYA: Penyanyi bersuara emas, Ernie Zakri tidak pernah meletakkan sasaran untuk bergelar penyanyi nombor satu negara kerana percaya di hati peminatnya dia sudah berjaya menduduki takhta tersebut.
Penyanyi Ku Bersuara itu berkata, matlamat sebenarnya dalam industri seni adalah kejayaan peribadinya terutama untuk peminat-peminatnya yang selama ini menyokong dan tidak lelah bertahan dalam apa jua keadaan.
“Bukan sasaran saya hendak jadi nombor satu. Saya tahu, di hati Ernienators (kelab peminat), saya sudah jadi nombor satu.
“Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah penyanyi nombor satu. Dia bukan sekadar penyanyi, dia adalah inspirasi kehidupan kita. Dia adalah Malaysia. Jasa dia untuk kita semua, sangat besar sebenarnya.
“Apa yang saya kejar adalah kejayaan peribadi, untuk peminat-peminat saya. Subjektif bila nak cakap kita nombor satu ke nombor dua ke. Bagi saya, setiap penyanyi itu sudah berada di tempat masing-masing,” ujarnya.
Penyanyi yang baru sahaja melancarkan album, Aura itu berkata demikian sewaktu ditemu bual menerusi program digital, Show Dalam Bilik baru-baru ini.
Dalam pada itu, isteri kepada penyanyi Syamel itu juga berpendapat, industri seni tempatan terlalu kecil untuk segelintir peminat mencetuskan perbalahan dan salah faham antara sesama artis.
Jelasnya, dia mempunyai hubungan yang baik dengan rakan-rakan penyanyi lain dan tidak selesa jika ada salah faham yang tercipta daripada persepsi toksik segelintir peminat.
“Benar, peminat ada hak untuk tulis atau luahkan pendapat ke atas penyanyi kesayangan mereka. Tetapi kalau sampai kutuk peminat artis lain, itu tidak wajar. Kita perlu meraikan semua.
“Saya sendiri ada artis yang diminati. Tetapi saya sedar, kita tidak boleh lari daripada perbandingan. Peminat ini bila dah sayang melampau, dia secara tidak sedar boleh bertikar toksik.
“Cuma yang best nanti adalah kami sendiri, sesama penyanyi. Saya ada hubungan baik dengan semua orang. Kita rasa macam ala tak seronok bila ada pihak lain yang sengaja bina tembok itu,” katanya.