Sukar selesaikan isu tanah dalam tempoh dua minggu - Sanusi

Sukar selesaikan isu tanah dalam tempoh dua minggu – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tempoh dua minggu yang diberikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelesaikan rundingan mengenai isu berbangkit melibatkan sempadan Malaysia-Thailand terutamanya soal tanah adalah mustahil.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan negeri yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam perkara itu perlu mengikut peruntukan undang-undang yang tertakluk di bawah Kanun Tanah Negara (KTN).

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pihaknya akan mencuba sedaya upaya untuk mempercepat proses itu bagi memenuhi hasrat Anwar yang mewakili negara ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat di Thailand, Srettha Thavisin.

“Pada pandangan saya mustahil (selesai dalam tempoh dua minggu) sebab isu tanah melibatkan KTN akan ambil masa. Tanah di situ milik Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) yang dipajak kepada sebuah syarikat, ada tanah kerajaan yang digunakan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

“Semua (pengambilan) tanah-tanah ini mesti diuruskan mengikut proses masing-masing yang berada di bawah bidang kuasa negeri. Saya bagi jaminan sepantas yang boleh (kita uruskan) berdasarkan undang-undang supaya kehendak Perdana Menteri dipenuhi kerana beliau mewakili negara,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Sadao, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memuktamadkan sebarang rundingan mengenai isu berbangkit melibatkan sempadan kedua-dua negara dalam tempoh dua minggu.

Antaranya projek jajaran jalan baharu menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao yang baharu. 

Beliau berkata, ianya penting untuk menjadikan kawasan di Utara Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand itu sebagai kawasan pertumbuhan, pembangunan dan kegiatan ekonomi yang memanfaatkan kedua-dua negara.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pula berkata, jaringan jalan penghubung itu terdiri daripada satu jalan utama enam lorong dua hala (K3-3) sepanjang 900 meter dengan piawaian U5 dan Jalan Khidmat sepanjang 300 meter. 

Tambahnya, projek jalan itu turut melibatkan pengambilan tanah, perobohan dan pembinaan baharu Blok Asrama Kem Rejimen Sempadan (5RS) serta beberapa struktur keselamatan lain seperti Pos Kawalan Akhir dan pagar keselamatan yang terkesan daripada jajaran tersebut. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya