PETALING JAYA: Penamatan subsidi dan pengapungan harga ayam bermula semalam tidak menjejaskan pengguna ekoran kebanyakan peniaga masih mengekalkan harga jualan atau lebih rendah berbanding harga siling RM9.40 sekilogram.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Besar Alor Setar, Kedah mendapati, peniaga ayam menjualnya antara RM7.70 hingga RM9.40 sekilogram sekali gus meleraikan kebimbangan pengguna.
Seorang peniaga, Mohd. Zakir Mohd. Zahir, 27, berkata harga ayam yang ditetapkan adalah RM7.70 sekilogram sejak semalam iaitu jauh lebih murah daripada sebelum ini.
“Semalam dan kelmarin harga jualan adalah RM7.70 sekilogram setelah mendapat bekalan daripada pemborong RM7.10. Pemborong memberi alasan ayam banyak ketika ini.
“Kami tak bercadang untuk menaikkan harga lebih daripada itu kerana menjual mengikut harga pasaran,” katanya.

Terdahulu, kerajaan mengumumkan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula semalam.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, rasionalisasi daripada tindakan itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan penduduk berpendapatan tinggi.
HARGA DI KELANTAN KEKAL
Sementara itu, harga ayam di Kelantan kekal pada harga RM8 sekilogram walaupun
kerajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan ayam.
Bagaimanapun, sebilangan besar peniaga membuat ketetapan mengurangkan kuantiti jualan bahan mentah itu bagi mengelakkan berlaku lambakan.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu mendapati, berlaku lambakan ayam sekali gus membuatkan para peniaga berada di dalam dilema.
Seorang peniaga, Zaimah Dollah, 54, berkata, setakat ini ayam masih dijual pada harga RM8 sekilogram.
Bagaimanapun, menurutnya, dia menjangkakan harga bahan mentah itu naik menjelang sambutan Deepavali, minggu depan.
“Walaupun tiada subsidi, saya berpandangan kerajaan perlu mengawal harga ayam. Saya bimbang harga bahan mentah itu naik mendadak seterusnya memberikan kesan tidak baik kepada pengguna,” katanya.
AYAM DI MELAKA KEKAL MURAH, BOLEH TAWAR-MENAWAR
Dalam pada itu, harga ayam di Melaka masih murah iaitu antara RM7.39 sehingga RM9.40 sekilogram.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Melaka, Norena Jaafar berkata, hasil pemantauan di tiga premis mendapati, ayam segar di pasar awam dijual antara RM8.90 hingga RM9.40 sekilogram sementara RM7.39 sekilogram di pasar raya besar.
Kata beliau, pelanggan di pasar awam masih boleh tawar-menawar dengan penjual bagi mendapatkan harga lebih murah.
“Terdapat perbezaan harga ayam di pasar awam dan pasar raya besar. Saya beri jaminan bahawa ayam di pasar raya besar adalah ayam segar dan bukan stok lama.
“Hal ini kerana ramai yang beranggapan kalau (harga) ayam murah, ia adalah stok lama dan ini kita nafikan.
“Selain itu, bagi pengguna yang pergi ke pasar awam, mereka boleh tawar menawar dengan peniaga. Contohnya, kalau beli dua ekor ayam mereka mungkin hanya perlu membayar RM8.50 sekilogram berbanding harga sebenar RM8.90 sekilogram,” katanya dalam sidang akhbar pemantauan harga ayam oleh KPDN Melaka semalam.
HARGA AYAM TURUN DI PERLIS
Sementara itu, harga jualan runcit ayam di sekitar Perlis menunjukkan penurunan dan dipasarkan sekitar RM8.50 malah bekalannya juga berada dalam keadaan stabil.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Perlis, Norazah Jaapar berkata, harga ayam pada masa ini bergantung kepada bekalan dan permintaan pengguna setelah bahan mentah itu diapungkan kerajaan.
“Sekiranya harga ayam naik terlalu tinggi pada masa kini dan jika kuasa membeli pengguna itu berubah, mungkin ia boleh menjamin penurunan harga bahan mentah itu.
“Itulah antara kelebihan apabila harga ayam ini diapungkan di mana kuasa ada di tangan pengguna,” katanya selepas melakukan tinjauan di Pasar Besar Sena, Kangar.
TIADA PENINGKATAN HARGA DI NEGERI SEMBILAN
Dalam pada itu, tiada peningkatan bagi harga runcit ayam segar di pasaran di Negeri Sembilan walaupun kerajaan mengambil langkah menamatkan subsidi ayam berkuat kuasa semalam.
Tinjauan di beberapa pasar awam di bandar Seremban mendapati, ayam segar dijual pada harga RM9.40 sekilogram seperti sebelum ini manakala di beberapa pasar raya pula ia dijual pada harga RM7.90 sekilogram.
Seorang peniaga ayam di Pasar Ampangan, Alizan Tambi, 52, berkata, harga ayam yang dijual banyak bergantung kepada bekalan ayam dan harga yang diterima daripada pihak pembekal.
Katanya, jika bekalan ayam adalah banyak dan tidak menghadapi sebarang masalah di pasaran, harga jualan sudah tentu tidak meningkat.
“Harga ayam jika turun maksudnya memang bekalan ada dan banyak namun jika harga tiba-tiba sahaja meningkat biasanya pembekal memberitahu ayam kurang, itu sahaja alasan mereka.
“Harga memang tiada masalah namun apabila bekalan ayam tiada harga pasti akan melambung. Setakat ini harga ayam yang kami terima dari pembekal memang menunjukkan penurunan kebelakangan ini dan kami sebagai peniaga boleh ‘bernafas’ sedikit,” katanya di sini.
Sementara itu, Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan juga berkata, hasil pemantauan pihaknya, rata-rata peniaga menjual ayam pada harga yang dikawal sebelum ini iaitu RM9.40 sekilogram.
RESTORAN HAMEEDIYAH KEKAL HARGA HIDANGAN
Restoran nasi kandar tertua negara, Restoran Hameediyah di George Town, Pulau Pinang masih mengekalkan harga hidangan berasaskan ayam di kesemua rangkaian restoran tersebut walaupun subsidi dan kawalan harga ayam ditamatkan.
Pengurus Restoran Hameediyah, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, setakat ini kesemua masakan berasaskan ayam tidak dinaikkan iaitu sekitar RM9 hingga RM10 mengikut jenis masakan.
“Ayam yang kita jual dipotong empat dan harganya masih sama setakat ini walaupun harga jualan ayam mentah tidak lagi dikawal kerajaan.
”Kami akan umumkan kepada pelanggan sekiranya berlaku kenaikan harga makanan di restoran, namun sekarang belum ada kenaikan harga di restoran kami,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya tidak dapat menjangka sehingga bila harga ayam yang dijual di restoran berkenaan dapat dikekalkan kerana bergantung kepada harga ayam mentah yang diperoleh daripada pembekal. – UTUSAN










