Suami tak halang - Azah Aziz lempias rindu lakonan - Utusan Malaysia

Suami tak halang – Azah Aziz lempias rindu lakonan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS dua dekad, pelakon, Azah Aziz, 50, yang satu masa lalu mencipta nama menerusi drama Cinta Korporat, kembali mewarnai dunia seni tanah air.

Azah dilamar dua pengarah prolifik, Michael Ang dan Haji Zeel untuk dua drama berlainan yang dijangka ditayangkan sekitar tahun depan.

Kemunculan semula pelakon asal Kuala Lumpur ini mengubat kerinduan peminat selepas dia meninggalkan industri lebih 20 tahun lalu kerana mengikut suami, Daud Leroy Abdullah berpindah ke luar negara.

Meskipun berpengalaman dalam bidang lakonan selama tujuh tahun, Azah mengakui menyimpan rasa gemuruh untuk berlakon semula selepas sekian lama tidak beraksi depan kamera.

“Sebenarnya, kemunculan semula ini bukan kerana saya mahu betul-betul aktif (berlakon). Ia sekadar mengisi masa lapang tatkala keberadaan saya di Malaysia untuk tempoh lima tahun. Ibarat melepas rindu kepada dunia lakonan.

“Memang saya gemuruh dan kurang berkeyakinan. Sekarang tak macam dulu, keadaan sudah berubah, berlainan dengan ketika saya aktif dahulu.

“Saya bersyukur kerana suami tak pernah halang malah dia menyokong dan beri galakkan. Dia percaya saya masih boleh berlakon dan perlu menggunakan bakat jika berpeluang,” katanya.

Kata ibu tiga cahaya mata ini, banyak perkara yang dipertimbangkan sebelum memutuskan untuk kembali berlakon.

Antaranya, kesesuaian skrip dan jalan cerita yang padanya amat penting untuk diteliti sebelum menerima tawaran.

“Drama bersama Haji Zeel bukan berkisar cerita ‘Mak Datin’ atau cinta. Sebaliknya, sarat cerita membabitkan konflik, skandal dan pembunuhan.

“Saya seronok bekerja dengan pelakon, Rita Rudaini dan Jasmin Suraya dalam drama ini. Kami sekepala,” katanya.

KEJUTAN BUDAYA

HIDUP terlalu lama di negara asing mencetuskan kejutan budaya kepada Azah terhadap tanah kelahirannya sendiri.

Kata Azah, dia perlu membiasakan diri dengan persekitaran baharu yang bakal didepaninya sementara berada di Malaysia untuk beberapa tahun.

“Bulan pertama saya di Malaysia memang sukar. Sukar untuk sesuaikan diri setelah berada terlalu lama di negara orang. Saya kena biasakan diri dengan persekitaran, masyarakat, makanan yang pada saya, baru.

“Kalau di Montreal, Kanada, tiada siapa yang memandang cara berpakaian saya. Tapi lain halnya di Malaysia, saya kena jaga penampilan agar tidak kelihatan terlalu terdedah.

“Perhatian yang saya terima di Malaysia tidak saya dapat di negara luar. Kalau terserempak dengan peminat, mereka nak bergambar dengan saya. Sebab itu, saya kena jaga cara berpakaian dan sentiasa bersedia agar tidak tular di kemudian hari,” jelasnya.

TUDUHAN CERAI, PELACUR BAWAH UMUR

KEPULANGAN Azah ke tanah air tercinta selepas 25 tahun berkelana di negara orang disambut baik peminat, keluarga dan rakan-rakan yang merinduinya.

Namun, pelakon ini juga tidak sepi dengan tuduhan liar manusia berhati busuk yang mengaitkan kepulangannya dengan cerita-cerita negatif dan palsu.

“Yang kecam itu saya dah biasa hadap, tapi yang buat cerita ini yang saya tak faham. Saya tak nafikan, ada yang berspekulasi mendakwa saya pulang ke Malaysia kerana diceraikan suami.

“Selain itu, ada juga manusia yang buat cerita mengatakan saya balik sebab nak aktif berlakon semula.

“Saya jenis yang tak ambil pusing tuduhan orang. Cuma saya hairan macam mana mereka boleh cipta soap opera pasal saya. Apa pun semua ini saya ambil sebagai hiburan, tak sedikit pun mencalar emosi saya,” ujarnya.

Meskipun bersikap ‘masuk telinga kanan, keluar telinga kiri’, Azah mengakui emosinya pernah terganggu dek kerana cerita tentangnya yang tular sebelum ini.

“Awal tahun ini saya kongsikan di media sosial gambar ketika awal perkenalan dengan suami yang mana ketika itu saya berusia 19 tahun dan kelihatan sangat muda dengan bentuk fizikal yang genit.

“Gambar tersebut tular seluruh dunia, sehingga ada yang melabel saya pelacur kanak-kanak dan menuduh suami saya pedopilia hanya kerana saya kelihatan seperti remaja bawah umur ketika berkahwin.

“Saya memutuskan untuk padam gambar tersebut meskipun ia menerima jumlah tontonan yang amat tinggi. Kalau komen makcik bawang saya boleh hadap, tetapi yang ini keterlaluan,” ceritanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya