PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta mengintai peralihan sokongan Ahli Parlimen pembangkang selain diharap tidak ‘tutup sebelah mata’ mengenai tindakan berkenaan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, ini kerana timbul persoalan apabila pemerintah seolah-olah dilihat semakin terdesak menggunakan kuasa politik wang.
“Sangat pelik peralihan sokongan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu seolah~olah diaturkan satu persatu mengikut sokongan untuk menggambarkan keruntuhan Bersatu dan PN.
“Seperti kata Presiden Bersatu yang juga Pengerusi PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin), ada semacam satu gerakan terancang sogok, ugut terhadap Ahli Parlimen PN.
“SPRM sila intai, jangan tutup sebelah mata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Razali berkata, apa yang dibimbangi selama ini dalam pemerintahan Kerajaan Perpaduan sekarang apabila ia seolah-olah sudah sudah bermula semula kuasa wang politik.
Katanya, ia berikutan mainan politik wang menjadi paksi perebutan sokongan.
“Sejarah kembali semula. Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah mendepaninya dan telah menyingkirkan wabak kuasa wang politik.
“Ingatkan sudah pupus tetapi telah kembali dalam arena politik terkini. Ini suasana sangat tidak sihat.
“Bersatu dan PN tetap lawan dengan dakyah buruk ini. Rakyat pun sudah tahu. Kuasa wang politik perlu diperangi dan kami ada caranya. Jangan terkejut peralihan kuasa itu pasti berlaku atas nama rakyat,” katanya. – UTUSAN