SPRM perlu siasat wakil rakyat keluar parti

SPRM perlu siasat wakil rakyat keluar parti

NORAZLINAH Arif (kanan) mengambil keputusan keluar dari Warisan kerana pendirian parti itu di Sabah dan Persekutuan tidak selari.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Warisan (Warisan) mempersoalkan tindakan ‘berdiam diri’ Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak menyiasat dan mengambil tindakan terhadap wakil rakyat yang bertindak melompat parti.

Naib Presidennya, Datuk Jaujan Sambakong berkata, tindakan itu perlu dilakukan kerana mereka mungkin ditawarkan imbuhan agar berbuat demikian.

“Pihak penguatkuasaan perlu ambil tindakan kepada beberapa pemimpin yang mengambil langkah keluar daripada parti.

“Kenapa pihak berkuasa seperti SPRM tidak menjalankan tanggungjawab bagi menyiasat mereka? Mereka mungkin ditawarkan imbuhan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini semalam.

Sebelum ini, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan bertindak keluar parti termasuk tiga ADUN yang keluar pada 6 Februari lalu dan kini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) iaitu Norazlinah Arif (Kunak), Mohammad Mohamarin (Banggi) dan Ben Chong Chen Bin (Tanjong Kapor).

Enam ADUN Warisan yang keluar lebih awal dan menyertai parti lain ialah Datuk Hassan A. Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr. Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan).

Jaujan berkata, SPRM perlu bertindak segera dengan mengambil tindakan ke atas ahli politik yang lompat parti kerana lama-kelamaan orang beranggapan pilihan raya sudah tidak lagi relevan kerana wakil rakyat boleh dibeli untuk menyertai atau menyokong parti lain.

Dalam perkembangan lain, Warisan masih menilai sebarang kerjasama dan belum memutuskan sebarang bentuk kerjasama dengan parti lain walaupun ada perbincangan melibatkan parti itu dan UMNO.

Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, Warisan akan kekal sebagai sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan tetapi melaksanakan semak dan imbang di peringkat negeri.

“Kami masih menilai dan belum memutuskan apa-apa lagi walaupun terdapat perbincangan Warisan dan UMNO untuk bekerjasama tetapi kami masih di peringkat awal.

“Jika ada persefahaman bersama dan kedua-dua pihak boleh bersetuju dengan prinsip mengenai perkara yang akan dibincangkan maka saya tidak nampak mengapa kita tidak boleh bekerjasama, terutama untuk menghadapi pilihan raya negeri,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Warisan masih relevan, Mohd. Aziz berkata, akar umbi Warisan masih bekerjasama di sebalik isu-isu yang membelenggu kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kegagalan demi kegagalan, kelemahan pentadbiran, isu tanah, harga barang, infrastruktur, tata kelola dan potensi salah guna kuasa dalam beberapa kelulusan mutakhir ini selain peluang pekerjaan yang amat terhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×