Sokong PM, Bersatu desak Syed Abu Hussin lepas jawatan Ahli Parlimen - Utusan Malaysia

Sokong PM, Bersatu desak Syed Abu Hussin lepas jawatan Ahli Parlimen

AHMAD Man (tengah) dan ahli Bersatu Bukit Gantang dalam sidang akhbar di Bukit Gantang hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT GANTANG: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bukit Gantang mendesak Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang kerana menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.

Ketuanya, Ahmad Man berkata, tindakan Syed Abu Hussin yang menyatakan sokongan secara terbuka kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Parlimen hari ini merupakan satu pengkhianatan kepada parti.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat pembangkang, tindakan Syed Abu Hussin itu merupakan pengkhianatan kepada parti dan pengundi.

“Seluruh ahli Bersatu Bukit Gantang membantah keras tindakan Ahli Parlimen Bukit Gantang yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri dan menggesa beliau melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen dengan segera.

“Kita tidak perlukan pengkhianat di kawasan Bukit Gantang, biarlah Pilihan Raya Kecil diadakan supaya rakyat boleh memilih semula wakil rakyat yang berpendirian tetap dan tidak mengkhianati mandat rakyat,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau turut meminta Bersatu mengambil tindakan ke atas Syed Abu Hussin.

“Majlis Tertinggi parti tidak boleh berdiam diri terhadap perkara ini dan kami minta beliau dipecat daripada parti.

“Bukan sahaja Syed Abu Hussin tetapi empat lagi Ahli Parlimen Bersatu yang telah menyatakan sokongan awal kepada Perdana Menteri juga perlu dikenakan tindakan yang sama,” katanya.

Syed Abu Hussin Hafiz hari ini secara terbuka di Dewan Rakyat mengisytihar menyokong Anwar dan kerajaan.

Beliau menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN