PETALING JAYA: Bersatu mendakwa sudah mengumpul bukti berhubung tawaran tertentu kepada ahli Parlimen parti itu dan akan mengemukakan laporan kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ada dalam kalangan mereka ditawar faedah berbentuk kewangan atau peruntukan.
Katanya, ia jelas melanggar peruntukan seperti Akta SPRM.
“Kita akan buat laporan polis dalam tempoh sehari dua. Semua maklumat telah dikumpulkan contohnya dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang atau Ahli Parlimen Kuala Kangsar.
“Dalam kes Ahli Parlimen Gua Musang, dia beritahu dapat tawaran tetapi menolak semuanya. Tiga hari selepas itu, dia umum keputusan sokong sana (Kerajaan Perpaduan).
“Justeru kita syak ada perkara sedang berlaku, yang melanggar peruntukan undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di ibu pejabat Perikatan Nasional (PN) di sini malam tadi.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, pihaknya menggesa Akta Antilompat Parti dikaji semula susulan didakwa mempunyai kelompongan ketara.
Dalam pada itu beliau berkata, Lembaga Disiplin parti akan menentukan tindakan ke atas Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik yang secara terbuka mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tindakan ini amat tidak bertanggungjawab, bertentangan dengan semangat dan perlembagaan parti dan melanggar peruntukan sedia ada,” katanya.
Muhyiddin mengakui apa yang dilakukan oleh ahli Parlimen menimbulkan prasangka terhadap parti.
“Saya nak nyatakan kepada penyokong PN umumnya dan Bersatu khasnya, tindakan mereka ini tidak mendapat sokongan kita.
“Kita sedar hampir semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertanding atas tiket PN mendapat sokongan besar daripada sebahagian besar pengundi terutama dalam kalangan pengundi Melayu, bukan Bumiputera dan sedikit dalam kalangan bukan Melayu.
“Untuk mempertahankan prinsip yang diperjuangkan, kita tidak berkompromi dengan tindakan biadab, tidak bertanggungjawab dan bercanggah dengan prinsip perjuangan Bersatu,” tegasnya.
Setakat ini, empat ahli Parlimen pembangkang daripada PN menyatakan sokongan secara terbuka terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.
Ia bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman Suhaili.