Sirul Azhar perlu mohon semakan hukuman mati - Saifuddin

Sirul Azhar perlu mohon semakan hukuman mati – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Sirul Azhar Umar dari Australia perlu mengemukakan permohonan semakan hukuman mati terlebih dahulu sebelum kerajaan memulakan sebarang usaha untuk mengekstradisi.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Sirul Azhar perlu memanfaatkan ruang untuk memohon semakan hukuman itu oleh peguamnya berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu pada 2006.

“Itu prosesnya (mohon semakan hukuman), sehingga itu berlaku kerajaan beranggapan bahawa gesaan Datuk Seri Najib Tun Razak itu (berhubung ekstradisi) sebagai satu cadangan yang kerajaan akan ikuti perkembangannya kerana keputusan terletak kepada Sirul sendiri.

“Setakat ini, kita belum menerima maklumat kerana Sirul baru dibebaskan dalam tempoh seminggu ini. Kita belum menerima maklum balas sama ada peguamnya memohon semakan hukuman atau tidak,” katanya ketika ditemui di luar Kongres Nasional PKR 2023 di sini, hari ini.

Terdahulu Najib meminta Kerajaan Malaysia untuk mengadakan libat urus bersama pihak berkuasa Australia dengan matlamat bagi memudah cara ekstradisi Sirul Azhar ke negara ini, sekali gus memastikan siasatan komprehensif dijalankan berhubung dakwaannya.

Dalam satu wawancara eksklusif dengan Al Jazeera English 101 East, Sirul mendakwa dia dijadikan kambing hitam dan diperangkap dalam permainan politik, yang mana dia mengaku menerima RM1 juta ketika berada di Australia daripada sumber tidak dinamakan untuk tujuan ‘menutup mulut.’

Untuk rekod, mahkamah menjatuhkan hukuman mati kepada Sirul dan Azilah Harun pada April 2009 atas kesalahan membunuh Altantuya Shaariibuu.

Azilah kini sedang menunggu hukuman mati di penjara di Malaysia sementara Sirul melarikan diri ke Australia selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadap mereka.

Sirul kemudian ditahan oleh pihak berkuasa Australia dan dasar negara itu adalah tidak menghantar pulang individu yang berdepan dengan hukuman mati di negara asal.

Mengulas mengenai dakwaan Sirul Azhar itu, Saifuddin berkata, hanya dia sendiri yang tahu perkara itu kerana berdasarkan butiran perbicaraan, hal itu tidak dikemukakan ketika perbicaraan tempoh hari.

“Ia kekal sebagai satu kenyataan daripada Sirul dan hanya dia boleh menjawab kenapa sekarang ia dibangkitkan dan apakah tujuan sebenarnya, saya tak mahu komen bab itu.

“Saya seperti rakan media juga mengikuti ini sebagai kenyataan terkini dari Sirul,” katanya.

Pada masa sama, Saifuddin mengesahkan Azilah yang kini berada di penjara Sungai Buloh termasuk dalam kumpulan 900 banduan pertama yang memohon semakan berkaitan hukuman mati.

Katanya, pada masa ini terdapat lebih 1,060 banduan akhir yang boleh memohon semakan selepas kerajaan meminda akta berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori dan pemenjaraan sepanjang hayat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya