Silverlakes Village Outlet beroperasi sepenuhnya Disember - Utusan Malaysia

Silverlakes Village Outlet beroperasi sepenuhnya Disember

LOH Sze Yee (tiga dari kiri) dan Shaik Rizal Sulaiman (kiri) pada Pelancaran Dinosaur Park, Dinosaur Encounter @ Silverlakes Village Outlet Batu Gajah hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Pusat perniagaan komersial Silverlakes Village Outlet (SVO) di sini dijangka mula beroperasi sepenuhnya bulan depan.

Pengarah Urusan Silverland, Shaik Rizal Sulaiman berkata, pembukaan sepenuhnya pusat perniagaan komersial itu bulan depan selaras menjelang Tahun Melawat Perak 2024.

Menurutnya, SVO terbahagi kepada dua bahagian iaitu West Village dan North Village dan pelancaran West Village telah diadakan pada September lepas.

Katanya, pusat membeli belah utama, North Village dijangka buka secara berperingkat pada Disember ini.

“Setakat ini 60 peratus peniaga telah pun bersetuju untuk membuka outlet mereka di SVO.

“Kedai-kedai di North Village akan dibuka secara berperingkat iaitu bermula dengan antara 10 hingga 20 kedai terlebih dahulu sebelum dibuka sepenuhnya.

“Antara jenama yang bakal membuka perniagaan di sini antaranya Al-Ikhsan, Coach, Kate Spade, Sembonia, Carlo Rino, Puma dan ada juga jenama daripada pereka fesyen tempatan iaitu, Rizman Ruzaini.

“Kami mengikut jenama, sekurang-kurangnya 100 jenama terkenal akan bertapak di sini,” katanya kepada pemberita pada perasmian Taman Tema Dinosaur di Silverlakes Village Outlet di sini hari ini.

Majlis dirasmikan Pengerusi Pelancongan, Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee.

Shaik Rizal berkata, SVO bukan sahaja membawa jenama-jenama antarabangsa ke Batu Gajah tetapi juga makanan-makanan berkonsepkan segera seperti McDonald’s.

Menurutnya, setakat ini pihaknya sedang dalam proses untuk memuktamadkan beberapa francais restoran yang akan beroperasi di situ.

Mengenai pelancaran Taman Tema Dinosaur hari ini, beliau berkata, ia merupakan antara tarikan utama di Silverlakes Village Outlet.

Katanya, taman tema itu bukan sahaja mengaplikasikan pendekatan moden bagi menarik pengunjung tetapi menyumbang kepada kemajuan ekonomi pelancongan negeri Perak.

“Taman Dinosaur Encounter ini juga merupakan taman didik-hibur dinosaur pertama di Perak.

“Dinosaur Encounter ini berkonsepkan sains pra-sejarah, yang dihidupkan dengan teknologi terkini iaitu Realiti Terimbuh (Augmented Reality) dan Realiti Maya (Virtual Reality),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya