Sidang DUN: Selangor berdepan kerugian setengah bilion ringgit?

Sidang DUN: Selangor berdepan kerugian setengah bilion ringgit?

Selangor kerugian
MUHAMMAD Hilman Idham membahaskan Belanjawan Selangor 2024  dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2023 di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan negeri didakwa bakal mengalami kerugian lebih setengah bilion ringgit apabila anak-anak syarikatnya berdepan dengan tindakan undang-undang termasuk penyelesaian luar mahkamah.

Antaranya termasuklah tuntutan hak ganti rugi tetap (LAD) oleh syarikat-syarikat lain terhadap anak syarikat kerajaan negeri iaitu Central Spectrum Sdn Bhd (Central Spectrum) yang dikatakan bakal menyebabkan kerugian sehingga RM15 juta.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham (PN) berkata, dalam kes dihadapi Central Spectrum, syarikat itu diperintahkan membayar RM2 juta kepada Ideal Principles Sdn Bhd (Ideal Principles).

Menurutnya, tindakan dikenakan kepada Central Spectrum akibat daripada penyerahan projek hand over  yang didakwa tidak sempurna berhubung isu bekalan air.

“Saya mahu menarik perhatian ahli-ahli Dewan sekalian terhadap pengumuman projek utiliti Air Selangor di Pulau Indah yang akan dilaksanakan dengan kos RM 300 juta secara private financing initiative dengan Air Selangor. 

“Saya ingin menyatakan rasa kecewa terhadap sikap sambal lewa kerajaan negeri yang hanya memberi perhatian kepada projek infrastruktur ini pada tahun 2024.

“Persoalannya, mengapa isu infrastruktur ini baru diberikan perhatian setelah kerajaan negeri mengalami kerugian bernilai jutaan ringgit?” katanya ketika membahaskan Belanjawan Selangor 2024 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 2023, hari ini.

Selain syarikat-syarikat tersebut, beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang bercadang mahu membuat penyelesaian luar mahkamah berhubung kes melibatkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan syarikat pemaju Tanming Berhad.

Jelas Hilman, kes tersebut melibatkan pengambilalihan tanah Canal City oleh kerajaan negeri yang dipersoalkannya jika berlaku gadaian tanah bernilai ratusan juta ringgit.

“Kerajaan Negeri bercadang untuk membuat penyelesaian luar mahkamah dengan nilai sejumlah RM200 juta. Kes ini melibatkan pengambilalihan tanah Canal City oleh kerajaan negeri. 

“Saya ingin bertanya, mengapa Kerajaan Negeri tidak mahu meneruskan kes ini di mahkamah dan memilih untuk membuat out of court settlement? Bagaimana kerajaan negeri boleh bercadang untuk menggadaikan tanah-tanah milik rakyat yang bernilai ratusan juta kepada syarikat tersebut sebagai jalan penyelesaian?” soalnya.

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri menjelaskan perincian private financing initiative tersebut dan tempoh yang akan diambil untuk menyiapkan projek berkenaan.

“Supaya kita dapat kembali melihat pelaburan besar seperti IKEA yang pernah dibawa masuk oleh ADUN Hulu Kelang (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) suatu masa dahulu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN