Sidang DUN: Jalan Batang Kali - Genting Highland buka Mei tahun depan - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Jalan Batang Kali – Genting Highland buka Mei tahun depan

Batang Kali
IZHAM Hashim menjelaskan perkembangan terkini status baik pulih Jalan Batang Kali - Genting Highlands pada Sidang DUN Selangor dalam dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023, di Shah Alam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Jalan Batang Kali – Genting Highland yang sebelum ini ditutup berikutan tragedi tanah runtuh yang mengorbankan 31 mangsa di Father’s Organic Farm pada 16 Disember lalu akan dibuka selewat-lewatnya Mei depan.

Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, sebanyak RM19 juta dibelanjakan untuk menyelesaikan masalah runtuhan serta kerja-kerja penstabilan cerun melalui projek kecemasan.

“Kerja-kerja pembaikan kini pada tahap 38.6 peratus yang dimulakan sejak 28 Mei lalu dan dijadualkan siap 29 Mac tahun depan. Kita akan buka kembali jalan itu, mungkin sebulan atau dua bulan selepas tarikh siap,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini. 

Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Gasing, R. Rajiv (PH) dalam Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Pertama DUN Selangor Ke-15 2023 meminta kerajaan negeri menjelaskan status terkini kerja-kerja pembaikan cerun dan tanah runtuh di jalan tersebut.

Izham yang merupakan ADUN Pandan (PH) menjelaskan laporan penuh berhubung kejadian tanah runtuh berkenaan sudah dinyah rahsia dan boleh diakses menerusi laman web Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bemula 17 Oktober lalu.

Malah, beliau turut menyatakan tiada tanda-tanda jelas pada cerun di Jalan Batang Kali-Genting Highlands itu seperti keretakan dan sebagainya dikesan sebelum tanah runtuh berlaku sehingga menjejaskan 92 mangsa yang sedang beriadah di tapak perkhemahan berhampiran.

“Kita juga teliti laporan itu dan secara umumnya tiada unsur-unsur kecuaian mana-mana pihak. Runtuhan berkenaan disebabkan kegagalan kaki cerun itu yang tepu dengan air sehingga menyebabkan keruntuhan termasuk tebing. 

“Memang tiada tanda-tanda jelas cerun itu mengalami keretakan (sebelum tragedi). Aspek kawasan perkhemahan itu dibawah pihak berkuasa tempatan namun tapak khemah itu bukan menyumbang kepada kegagalan itu,” jelasnya. 

Tragedi pada 16 Disember 2022 itu berlaku di Jalan B66 Seksyen 14.0 Jalan Batang Kali-Genting Highlands di Hulu Selangor, serta ladang organik dan tapak perkhemahan Father’s Organic Farm.

Laporan menyatakan jalan berkenaan di bawah bidang kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Hulu Selangor, manakala Father’s Organic Farm adalah tapak perkhemahan dikendalikan Father’s Organic Sdn Bhd.

Tragedi itu membabitkan keseluruhan 92 mangsa dengan 61 daripadanya terselamat, manakala 31 maut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya