KLUANG: Empat orang lelaki sanggup menyewa sebuah kereta Perodua Alza semata-mata mahu melakukan samun sebelum berjaya ditahan polis di Taman Mutiara Rini, Skudai, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, sebelum itu pihak polis menerima laporan kejadian samun di Taman Puteri Emas, Simpang Renggam kira-kira pukul 8.30 pagi pada 23 November lalu.
Katanya, kejadian berlaku ketika dua lelaki berusia lingkungan 40 tahun yang berada di dalam rumah sedang berehat sebelum dimasuki empat lelaki warga tempatan berusia 22 hingga 49 tahun.
“Terkejut dengan keadaan yang berlaku secara tiba-tiba itu menyebabkan kedua-dua mangsa tidak dapat melakukan apa-apa dan menyerahkan pelbagai barangan diminta suspek.
“Akibat kejadian itu, mangsa kerugian RM82,000 apabila suspek berjaya melarikan wang tunai RM1,000, empat telefon bimbit pelbagai jenama, sekeping kad pengenalan mangsa dan sebuah kereta Perodua Aruz,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin lagi, susulan daripada laporan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, IPD Iskandar Puteri dan Balai Polis Simpang Renggam melancarkan siasatan sebelum berjaya mengesan kedudukan suspek.
Ujarnya, susulan itu polis melakukan satu serbuan di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini, Skudai dan menahan semua suspek selepas kira-kira 12 jam melakukan samun.
“Semua barang-barang yang dilaporkan disamun berjaya dirampas semula termasuk kereta Perodua Alza yang disewa oleh salah seorang suspek.
“Semua suspek kemudiannya direman selama enam hari bermula semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat,” katanya. – UTUSAN