MELAKA: Kanak-kanak lelaki terjatuh longkang, Muhammad Danish Mohd. Faizal, 2, yang ditemukan lemas kira-kira pukul 9.30 pagi semalam selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Pokok Mangga, di sini malam tadi.
Jenazah tiba di tanah perkuburan kira-kira pukul 8.10 malam dihadiri 100 orang termasuk sanak-saudara, penduduk dari Taman Seri Mangga di sini.
Jenazah tiba di rumah keluarganya di Taman Seri Mangga dari Hospital Melaka selepas menjalani proses bedah siasat pada pukul 7.40 malam disembahyangkan di surau Al-Mubarak tidak jauh dari situ.
Suasana sedih dan hiba menyelubungi tanah perkuburan apabila orang ramai tidak dapat menahan kesedihan sewaktu jenazah Muhammad Danish masuk ke liang lahad.
Ibu kanak-kanak itu Nor Amiza Che Kar, 28, berkata, dia reda atas pemergian anak ketiga daripada empat beradik walaupun tidak dapat menahan sebak di atas kematian tragis yang menimpa anaknya itu.
Menurutnya, dia terkejut apabila pihak polis menghubunginya dan memaklumkan penemuan mayat anaknya di sebuah longkang besar di Taman Desa Baru kira-kira pukul 9.30 pagi semalam.
“Kalau kata hati seperti separuh mati, tetapi mungkin saya kuat kerana ramai yang mendoakan anak saya walaupun dia pergi dalam keadaan menyayat hati, namun, saya percaya ramai bersama dia.
“Ikutkan segalanya dipermudahkan kerana hampir 18 jam pihak berkuasa mencari serta dibantu orang ramai akhirnya doa saya agar anak saya ditemukan menjadi kenyataan.
“Sedih dan hiba rasanya kehilangan seorang anak, tetapi, saya reda atas ketentuan ilahi, saya akur atas pemergian Muhammad Danish,” ujarnya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang, Pokok Mangga di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 3.25 petang Sabtu seorang kanak-kanak berusia dua tahun dikhuatiri lemas di sebuah longkang berhampiran tempat ibunya berniaga nasi kerabu di Taman Goodwood, Bukit Baru dekat sini.
Bagaimanapun mayat anaknya ditemukan sepasang suami isteri di sebatang longkang besar di Taman Desa Baru kira-kira pukul 9.30 pagi.
Nor Amiza berkata, suaminya Mohd. Faizal Maarop, tiga anaknya Muhammad Firas, 8, Nuha, 4, dan Muhammad Ariq, 1, turut reda kehilangan Muhammad Danish.
Dalam pada itu, beliau meminta jasa baik orang ramai yang mengambil rakaman video jasad anaknya yang ditemui untuk memadam video berkenaan.
Menurutnya, bagi mereka yang memuat naik video tersebut di aplikasi TikTok atau media sosial yang lain agar segera memadamkannya.
“Saya minta padam atau jangan simpan sebab saya sendiri pun tak ambil dan tak tengok sebab tak sanggup. Hormatilah privasi keluarga saya,” ujarnya. -UTUSAN