Seorang lelaki dan wanita ditahan kes empat beradik ditinggalkan tanpa jagaan - Utusan Malaysia

Seorang lelaki dan wanita ditahan kes empat beradik ditinggalkan tanpa jagaan

EMPAT beradik yang ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah, Kampung Gajah Khamis lalu. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes empat beradik yang ditinggalkan di pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Daerah Perak Tengah, Kampung Gajah Khamis lalu.

Kedua-dua individu yang dipercayai ibu dan bapa kanak-kanak tersebut ditahan dalam tangkapan berasingan semalam dan hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, tangkapan itu dibuat susulan laporan polis oleh kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kampung Gajah mengenai empat kanak-kanak ditinggalkan di kompleks berkenaan tanpa jagaan dan pengawasan.

Katanya, berdasarkan siasatan, kesemua kanak-kanak itu dibawa dan ditinggalkan di lokasi tersebut pada hari kejadian oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal Modenas Kriss berwarna biru.

“Ekoran itu, satu tangkapan dibuat ke atas lelaki terbabit semalam, selain merampas motosikal yang digunakan serta pakaian yang dipakainya semasa hari kejadian.

“Tangkapan juga dibuat hari ini terhadap seorang perempuan di mana telefon bimbitnya juga dirampas untuk tujuan siasatan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 33(a) Akta Kanak-kanak 2001 bagi mengenal pasti motif suspek meninggalkan kanak-kanak berkenaan.

“Pihak polis masih meneruskan siasatan kes ini, kita minta orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang maklumat atau berita tidak sahih hingga menimbulkan kegusaran awam,” katanya.

Menerusi laporan media pada Jumaat lalu, empat beradik termasuk seorang bayi berusia 10 bulan ditinggalkan seorang wanita tidak dikenali di hadapan pondok pengawal Kompleks Pentadbiran Perak Tengah.

Kejadian sekitar pukul 10.50 pagi itu membabitkan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, kanak-kanak perempuan berusia enam tahun bersama dua adik lelaki mereka masing-masing tiga tahun dan 10 bulan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN