PETALING JAYA: Pemuda UMNO mendoakan semoga segala urusan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipermudahkan selepas Ahli Parlimen Muar itu dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan didenda RM10 juta serta dikenakan dua sebatan setelah didapati bersalah empat pertuduhan hari ini.
Ketua Pemudanya, Dr. Akmal Saleh bagaimanapun menganggap, perkara itu satu pengajaran kepada diri beliau sendiri.
“…jangan sombong dan menghina orang lain ketika kita di tampuk kuasa.
“Kerana kifarah itu benar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Hantaran yang dilihat sinis itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu sebelum ini.
Ini berikutan Akmal dalam hantaran sama turut menyertakan tangkap layar laporan Utusan Online pada 25 Mei 2019 yang melaporkan, Penasihat DAP, Tan Sri Lim Kit Siang tidak seharusnya meneruskan debat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memandangkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu adalah seorang pencuri.
Kenyataan itu ditegaskan Syed Saddiq ketika menjadi Menteri Belia dan Sukan, yang dilihat menyokong tindakan Kit Siang membuat pusingan U selepas mencabar Najib untuk berdebat.
Terdahulu, Ahli Parlimen Muar itu dijatuhi hukuman atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram (AMLA).
Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid bagaimanapun membenarkan Syed Saddiq menangguhkan pelaksanaan semua hukuman manakala syarat jaminan dikekalkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan. – UTUSAN