KOTA KINABALU: Pengurusan Universiti Malaysia Sabah (UMS) perlu menyelesaikan segera krisis bekalan air yang didakwa berlaku di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae di universiti berkenaan.
Ini kerana menurut Mahasiswa KEADILAN Malaysia (MKM), kolej tersebut mengalami masalah kekurangan air serta air yang tercemar, seperti yang tular di media sosial dan berita baru-baru ini.

Pengarah Komunikasinya Muhammad Iqbal Harraz berkata, pihaknya kesal atas kelalaian pihak universiti yang lambat bertindak mengatasi isu ini yang melibatkan kehidupan sehari-hari dan kesihatan para pelajar.
Selain itu, MKM juga maklum mengenai krisis bekalan air yang berpanjangan di kolej kediaman UMS, yang masih belum mendapat penyelesaian sehingga kini.
“Oleh itu MKM menuntut agar pihak pengurusan UMS memandang isu ini dengan serius dan berharap agar pihak atasan universiti segera mengambil tindakan mengenai pencemaran air di kolej kediaman tersebut, yang di bawah seliaan syarikat swasta.
Katanya, perkara tersebut jelas berlaku disebabkan oleh kelalaian pihak pengurusan kolej dari segi koordinasi dan penjagaan bekalan air bersih untuk pelajar.
Sehubungan dengan itu, satu pelan strategik perlu dirangka untuk sumber air alternatif yang bersih jika sumber air utama tidak dapat disalurkan.
Oleh itu, pihak MKM bersimpati terhadap nasib mahasiswa di UMS kerana air merupakan perkara asas dalam kehidupan dan masalah ini mampu memberikan impak yang tinggi jika tidak diselesaikan dengan segera.
Pihak MKM turut mengambil maklum mengenai sumbangan RM 3 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri datuk Seri Anwar Ibrahim melalui lawatan beliau dalam program “Temu Anwar” pada Mei lalu
Dalam program tersebut, Anwar meluluskan bajet sebanyak RM 3 juta kepada UMS bagi menangani masalah air di universiti berkenaan.
Katanya, MKM menyambut baik dana yang diluluskan dan berharap agar ia dapat disalurkan segera kepada pihak universiti supaya kerja-kerja penambahbaikan bekalan air dapat diselesaikan demi kebaikan pelajar.
“Pihak MKM juga ingin menuntut agar pihak atasan UMS menyediakan pelan perbelanjaan bagi peruntukan RM 3 juta tersebut bagi memastikan wang yang disalurkan dapat digunakan dengan sebaik mungkin dan secara efektif untuk kebajikan para pelajar,” jelasnya.
Tuntasnya, pihak pengurusan universiti seharusnya lebih peka terhadap kebajikan pelajar terutamanya dalam menyediakan kemudahan asas kerana perkara tersebut boleh mempengaruhi keadaan mental dan fizikal pelajar.-UTUSAN









