Saya tidak harap Sirul pulang - Saudara

‘Saya tidak harap Sirul pulang’

sirul azhar
SIRUL AZHAR UMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: “Saya tidak harap Sirul pulang, biarlah terus tinggal di Australia.”

Demikian jelas saudara terdekat bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar yang disabitkan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, 17 tahun lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, lelaki berusia 48 tahun itu berkata, tiada sebab untuk Sirul Azhar pulang semula ke negara ini jika perlu berhadapan dengan hukuman yang disabitkan ke atasnya.

Malah, katanya, adalah lebih baik bapa kepada dua anak itu memulakan kehidupan baharunya di Australia.

“Anak dia sendiri tidak benarkan dia pulang, jadi biarlah dia di sana. Jika dia balik pun, ibarat seperti jerat menunggu pelanduk.

“Apa pun, semua keputusan di tangan dia, terpulanglah kepada dia. Asalkan dia selamat, sudahlah,” katanya ketika ditemui di Changkat Jering di sini semalam.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa Sirul Azhar pada 2013 selepas lelaki itu dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas kesalahan membunuh Altantuya.

Katanya, sehingga kini, dia tidak pernah berhubung dengan bekas anggota Unit Tindak Khas (UTK) itu termasuklah anak lelakinya yang juga berada di Australia dan hanya mengikuti perkembangan mereka melalui berita dan keluarga.

“Ibu Sirul pun sudah tua, dia pun sudah ingat-ingat lupa, tetapi ibu manalah yang sanggup lihat anaknya ditahan. Sebagai keluarga, saya cuma harap dia selamat,” katanya.

Sirul Azhar, 52, yang juga pengawal peribadi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dibebaskan daripada Pusat Tahanan Imigresen Villawood di Sydney, Australia pada 11 November lalu.

Akhbar Australia, The Sydney Morning Herald melaporkan, Sirul Azhar dibebaskan selepas sembilan tahun berada dalam tahanan pihak imigresen negara itu sejak 2015.

Pembebasannya susulan keputusan Mahkamah Tinggi negara itu pada 8 November lalu yang memutuskan bahawa tahanan bukan warga negara yang tidak dapat dihantar pulang, tidak boleh lagi ditahan selama-lamanya oleh pihak imigresen.

Difahamkan, susulan keputusan itu, seramai 92 orang dan kebanyakannya pelarian termasuk beberapa orang lain yang didapati bersalah atas jenayah kekerasan dibebaskan dan dibenarkan tinggal di Australia di bawah syarat khas.

Sementara itu, adik perempuan kepada bekas koperal polis itu berharap abangnya sentiasa berada dalam keadaan selamat.

Hanya mahu dikenali sebagai Nisa, dia memberitahu, tidak mengetahui keadaan terkini abangnya itu setelah dibebaskan dari dalam tahanan di Australia.

“Cuma saya berharap dan berdoa dia sentiasa dalam keadaan baik, kami doakan dia selamat.

“Memang kami sudah lama tak berjumpa dengannya atau mendengar berita daripadanya. Sudah tentu kami rindukan dia.

“Saya tidak pernah putus mendoakan yang terbaik untuk dia, kami sentiasa mendoakan dia selamat,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN