Saya calon PM masa depan sekadar spekulasi - Samsuri 

Saya calon PM masa depan sekadar spekulasi – Samsuri 

AHMAD Samsuri Mokhtar (dua kiri) beramah mesra dengan mangsa banjir yang berpindah di PPS SK Chendering, Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri menganggap dakwaan beliau bertanding pada Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman sebagai jambatan untuk diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri masa depan bagi Perikatan Nasional (PN), adalah sekadar spekulasi.

Naib Presiden Pas itu berkata, spekulasi tersebut perkara biasa dalam politik terutama menjelang PRK Parlimen Kemaman.

Bagaimanapun, menurutnya, beliau tidak mengetahui berhubung dakwaan tersebut kerana tiada perbincangan secara khusus dalam PN diadakan sebelum ini.

Pada masa sama,  katanya, beliau pula tidak boleh menghalang mana-mana pihak untuk terus membuat spekulasi  tersebut.

“Kita tak boleh nak halang orang membuat spekulasi, orang buat macam-macam, ‘what can i say’, terpulang pada masing-masing nak buat macam mana,” katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chedering dekat sini, hari ini.

Seramai 170 mangsa banjir daripada 52 keluarga berpindah di PPS itu selepas rumah mereka dilanda banjir gelombang pertama di negeri ini sejak semalam.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang turut menolak dakwaan yang menyatakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan beliau sebagai calon PRK Parlimen Kemaman.

“Bila Tun (Mahathir) hadir ke Terengganu untuk berbincang pasal SG4 (State Government 4), Tun tidak sentuh politik, jadi tak ada kena mengena (cadangan calon)  dengan Tun pasal PRK,”  ujarnya.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, pertimbangan Pas mencalonkan Ahmad Samsuri pada PRK Parlimen Kemaman bertujuan mengete­ngahkan Menteri Besar itu sebagai calon Perdana Menteri masa depan bagi PN. 

Langkah itu disifatkan sebagai antara strategi Pas menampilkan calon Perdana Menteri daripada golongan profesional pada masa depan. 

Penganalisis politik, Dr. Che Hamdan Che Mohd. Razali berpandangan, Samsuri yang lebih dikenali sebagai Dr. Sam mempunyai ketokohan, dengan latar belakang profesional serta pendedahan agama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN