Sanusi tiada cita-cita jadi PM, tapi sedia pikul amanah

Sanusi tiada cita-cita jadi PM, tapi sedia pikul amanah

sanusi
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor tidak meletakkan sebarang sasaran mahupun angan-angan untuk menjadi Perdana Menteri atau memegang apa-apa jawatan sepanjang karier politiknya.

Menurut Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) dan Pas itu, segalanya adalah aturan Allah dan beliau turut menyerahkan perkara itu untuk diputuskan jemaah dalam partinya. 

Bagaimanapun katanya, beliau akan mencuba sehabis baik melaksanakan tanggungjawab sekiranya diberikan amanah oleh kepimpinan parti demi kebaikan semua pihak. 

“Soal kepimpinan ini saya dah cakap banyak kali termasuk sidang media sebelum ini yang kita tak boleh letak sasaran atau angan-angan. Saya duduk di sini (Menteri Besar) pun tak ada sasaran serta angan-angan. 

“Allah yang kirimkan saya ke sini bersama pemimpin lain. Kalau pergi lebih jauh, itu terserah kepada jemaah dan parti. 

“Saya tak ada cita-cita tetapi kalau diberi amanah oleh kepimpinan di mana saja, saya akan cubalah untuk jemaah, parti dan orang ramai. Bukan untuk diri saya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini. 

Kelmarin, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menyifatkan Pas sebenarnya mempunyai ramai calon yang boleh diketengahkan menjadi Perdana Menteri seperti Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Datuk Idris Ahmad dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan. 

Selain itu kata Hashim, Pas juga mempunyai pemimpin muda berpotensi untuk diketengahkan seperti Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar serta Muhammad Sanusi sendiri. 

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding jawatan lebih tinggi dalam parti bagi memastikan dirinya dapat menjadi Perdana Menteri, Muhammad Sanusi berkata, perkara itu tidak difikirkannya buat masa ini. 

Sementara itu, diminta mengulas kenyataannya dalam Muktamar Tahunan Pas Ke-68 mengenai Perdana Menteri daripada Pas pada 2050, beliau berkata, dalam keadaan sekarang tidak mustahil hasrat itu akan menjadi kenyataan lebih awal. 

“Kita mungkin akan lihat Perdana Menteri Pas lebih awal dari 2050, seboleh-bolehnya tahun depan. Ketika ini Pas ada kerusi Parlimen paling tinggi berbanding parti-parti lain di Malaysia dan itulah yang menjadi asas keyakinan saya,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×