Saifuddin tuduh PM bohong berhubung dakwaan kerajaan PN telah ratifikasi Statut Rom

Saifuddin tuduh PM bohong berhubung dakwaan kerajaan PN telah ratifikasi Statut Rom

SAIFUDDIN Abdullah dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbohong berhubung dakwaan yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah meratifikasi Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tanpa kelulusan Kabinet.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, susulan tuduhan itu, beliau telah merujuk Ahli Parlimen Tambun itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan mengelirukan berhubung penyertaan Malaysia dalam Statut Rom dan (ICERD) menerusi ucapannya di Dewan Rakyat, Selasa lalu.

Saifuddin berkata, hakikatnya, kerajaan ketika itu yang mana beliau merupakan Menteri Luar memberitahu memang ada keputusan Kabinet yang telah bermesyuarat pada 12 Disember 2018 dan memutuskan Malaysia meratifikasi Statut Rom.

Bagi ICERD pula, katanya, ia berada di bawah bidang kuasa Menteri Perpaduan ketika itu dan bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya.

“Mesyuarat Kabinet pada masa itu memutuskan untuk Malaysia meratifikasi Statut Rom. Ada kertas Kabinet yang saya tandatangan sebagai Menteri Luar dan keputusan dibuat dalam mesyuarat Kabinet.

“Kerana itulah saya telah meratifikasi bagi kerajaan Malaysia Statut Rom itu pada 4 Mac 2019. Jadi, tidak benar apa yang dinyatakan oleh Tambun bahawa saya buat atau bawa Statut Rom tanpa kelulusan Kabinet.

“Kedua-dua kenyataan beliau pada saya mengelirukan dan bersifat sangkaan jahat dan pembohongan,” katanya dalam sidang akhbar di pusat media Parlimen di sini hari ini.

Saifuddin dalam mesyuarat Dewan Rakyat hari ini telah menyuarakan hasratnya merujuk Anwar ke jawatankuasa berkenaan di bawah peraturan mesyuarat 36 (6) dan 36 (12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Dalam mesyuarat Dewan Rakyat Selasa lalu, Anwar dilaporkan berkata, kerajaan tiada sebarang keputusan dan konsensus berhubung penyertaan Malaysia dalam Statut Rom dan ICERD.

“Perkara berhubung Statut Rom dan ICERD perlu ditanyakan kepada Ahli Parlimen Indera Mahkota (Datuk Seri Saifuddin Abdullah) kerana dia yang bawa dulu tanpa mendapat kelulusan Kabinet,” kata Anwar.

Anwar sebelum itu menjawab soalan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berhubung pendirian Malaysia dengan tindakan membawa isu Palestin ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Katanya, kerajaan Malaysia hanya memberi bantuan dari aspek perundangan dalam usaha menggesa ICC membuka siasatan terhadap krisis antara Palestin-Israel, walaupun bukan menjadi antara negara anggota Statut Rom.

Baru-baru ini, lima negara termasuk Afrika Selatan, Bangladesh, Bolivia, Comoros dan Djibouti menggesa ICC membuka siasatan terhadap perang Israel-Palestin yang menyebabkan ribuan nyawa terkorban.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memaklumkan sedang menunggu jawapan balas Anwar Ibrahim mengenai kenyataannya berhubung penyertaan Malaysia dalam Statut Rom dan ICERD yang didakwa tidak mendapat kelulusan Kabinet.

“Saya sudah menulis surat kepada Tambun dan Insya-Allah sebaik dapat jawapan daripada Tambun, saya akan buat keputusan dan akan dimaklumkan kepada Yang Berhormat (Saifuddin),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN