MELAKA: Meskipun rumah pusaka di Bukit Senjuang di sini hangus dalam kebakaran pada petang Jumaat lalu, Abdul Wafi Rostam, 29, bersyukur tragedi itu berlaku semasa ketiadaannya serta dua anak berusia enam dan lapan tahun.
Katanya, dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang, rumah berkeluasan 2,400 kaki persegi itu musnah hampir 80 peratus ketika dia keluar mengambil anak-anaknya dari rumah pengasuh yang terletak berhampiran.
Menurutnya, dalam perjalanan pulang, dia ternampak asap hitam berhampiran kawasan rumah, namun menyangka ia berpunca daripada sampah yang mungkin dibakar jiran.
“Bila hampir di pekarangan rumah barulah saya sedar rupa-rupanya salah sebuah bilik sedang terbakar. Api sangat marak sehingga saya tak mampu berbuat apa-apa dan terus menghubungi bomba.
“Saya bekerja sebagai pembantu di kedai perkakas, ada menabung wang tunai sebanyak RM800 untuk menampung perbelanjaan keluarga, namun simpanan itu juga musnah dalam kebakaran tersebut.
“Sekarang saya tinggal sehelai sepinggang, dokumen penting juga musnah. Bagaimanapun, saya bersyukur ia tidak melibatkan kehilangan nyawa atau kecederaan. Kini kami menumpang di sebuah rumah di Permatang Pasir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Abdul Wafi yang juga bapa tunggal, walaupun kedua-dua anaknya turut terkesan dengan kebakaran itu, mereka tetap bersemangat untuk ke sekolah hari ini (Isnin) meskipun segala peralatan persekolahan seperti uniform sudah musnah dijilat api.
Jelasnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman telah mengunjungi keluarganya untuk memberikan bantuan awal seperti pakaian harian.
“Anak-anak saya beritahu mereka tetap mahu ke sekolah, walaupun baju sekolah telah terbakar, itu membuatkan saya sedih kerana tidak mampu beli uniform baharu,” katanya.-UTUSAN