KUALA KANGSAR: Tempoh tahanan reman tiga suspek kes rompakan barang kemas bernilai RM1.4 juta di tempat letak kereta berhampiran kedai emas di pekan Kuala Kangsar di sini minggu lalu, disambung tujuh hari lagi.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, permohonan reman itu dibuat selepas tempoh reman selama tujuh hari ke atas tiga suspek warga tempatan berusia 20 hingga 50 tahun itu berakhir semalam.
Katanya, lanjutan tempoh reman itu
bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan bersenjata.
“Reman disambung tujuh hari lagi sehingga Isnin depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menerusi laporan media pada 6 November lalu, satu kejadian rompakan dilaporkan membabitkan tiga penjenayah bersarung muka yang bertindak menyerbu sebuah kereta dinaiki dua jurujual syarikat emas sebelum memecahkan cermin kenderaan menggunakan tukul dan parang.
Kejadian yang dilaporkan sekitar pukul 11.22 pagi itu berlaku di kawasan tempat letak kenderaan berhampiran sebuah kedai emas di pekan Kuala Kangsar.
Ketika kejadian, dua lelaki berusia lingkungan lewat 30-an itu baru sahaja keluar dari kereta selepas meletakkan kenderaan di petak parkir.
Terdahulu tular di media sosial X, satu rakaman video berdurasi 21 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki berpakaian serba hitam dan sarung muka melarikan beberapa beg mengandungi barang kemas dari kereta mangsa.
Video yang dirakam oleh orang awam itu menunjukkan suspek melarikan diri menggunakan dua kenderaan. – UTUSAN










