Sepang: Rural Capital Berhad (RCB) menyerahkan zakat perniagaan bagi tahun 2022 berjumlah RM1,076,054 kepada Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), hari ini.
Majlis penyerahan di Avani Sepang Goldcoast Resort, dekat sini disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang DiPertua MAIPs.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) RCB, Hiruddin Hashim menyampaikan mock cek kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Turut hadir ialah Ketua Pengarah Mara, Datuk Seri Azhar Abdul Manaf dan Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawan) Mara, Datuk Zulfikri Osman.
Azhar berkata, RCB adalah anak syarikat Mara yang memfokuskan empat teras perniagaan seperti pengurusan bayaran balik pinjaman, perkhidmatan pembiayaan, digital based solution dan perlindungan takaful.
Menurutnya, RCB memulakan operasi sejak 2 Januari 2013 dan sehingga kini berdaya saing dengan syarikat-syarikat subsidiari Mara yang lain.
“Program ini adalah salah satu aktiviti untuk memeriahkan lagi ulang tahun RCB yang ke-10. Oleh itu, program ini cukup istimewa bagi RCB,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.
Sempena majlis tersebut turut diadakan sesi forum soal jawab. Ahli panel terdiri daripada Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin; Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed dan Konsul Kehormat Malaysia di Zurich, Switzerland, Guna R. Mahalingam yang juga pengasas dan Pengerusi syarikat Strategic Swiss Partners AG.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin berkenan mengetuaj program ‘Kayuhan Berbasikal RCB10’ di sekitar Bagan Lalang, Sungai Pelek yang turut disertai 100 peserta terdiri daripada kepimpinan tertinggi Mara dan RCB, TTG KL dan juga Mara Cycling Club. – UTUSAN