Ramai guru hidapi masalah jantung, barah - Utusan Malaysia

Ramai guru hidapi masalah jantung, barah

Guru
AMINUDDIN Awang dan Shamsul Azman Alias (tengah) bergambar bersama anggota NUTP pada Majlis Pelancaran Kad Perubatan NUTP Medicare di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penyakit jantung dan barah menjadi krisis kesihatan utama dialami guru-guru di seluruh negara.

Kedua-duanya itu tersenarai dalam 36 penyakit kritikal oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NTUP) yang memberikan manfaat sumbangan kepada guru-guru yang mengalami masalah kesihatan itu.

Presiden NUTP, Aminudin Awang berkata, NUTP menyediakan manfaat kepada guru-guru terutamanya ahli mengikut senarai tersebut dan mengesan dua penyakit jantung dan pelbagai jenis kanser menjadi pemberian sumbangan tertinggi.

“Kita ada juga di peringkat kita (NUTP) ada (tabung kebajikan). Bermakna di ahli peringkat kita, mana-mana ahli yang dapat penyakit kritikal mereka akan diberi RM2,000, itu diperingkat kita, bukan insurans.

“Tetapi daripada data di situ, ramai daripada kita yang kena kanser, ada dua penyakit besar iaitu kanser dengan masalah jantung. Sekarang banyak faktor seperti makanan, stres pun ada juga peratusan kewajarannya tetapi secara spesifiknya kita tak ada data itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Kad Perubatan NUTP Medicare, hari ini.

Kad perubatan tersebut merupakan manfaat baharu boleh dimohon oleh guru-guru dari seluruh negara menerusi program NUTP Medicare dengan kerjasama Zurich General Takaful Malaysia Berhad pada bayaran premium serendah RM70 untuk individu dan RM180 untuk keluarga.

Jelas Aminuddin, manfaat tersebut memberi peluang kepada lebih 400,000 guru untuk mendapatkan rawatan pakar lebih 160 panel hospital swasta yang dalam masa sama membantu mengatasi lambakan pesakit di hospital awam.

Menurutnya, kad perubatan tersebut menjadi perlindungan alternatif kepada penerimanya untuk mendapatkan rawatan segera melalui kadar sumbagan yang mampu milik dengan nilai perlindungan komprehensif.

“Kita hendak memastikan ahli-ahli kita terjaga dari segi bukan sahaja semasa mereka sihat tetapi masa mereka tidak sihat. Dalam rawatan pun mereka akan mendapat khidmat yang terbaik sama macam masa mereka sihat dan bekerja.

“Jadi, kalau mereka dapat memperuntukkan sebanyak RM180 sebulan, bukan sahaja mereka tetapi semua ahli keluarga yang di bawah 23 tahun, kalau mereka ada tujuh orang anak bawah 23 tahun bermaksud sembilan orang dilindungi dengan RM180,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Zurich Takaful, Shamsul Azman Alias, memaklumkan tawaran dalam kerjasama dengan NUTP menjadi sebahagian daripada inisiatif untuk menghargai pengorbanan dan jasa guru. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya