Raja Puan Muda Perlis terima PhD dari UM

Raja Puan Muda Perlis terima PhD dari UM

TUANKU Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil berjaya menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Akademi Pengajian Islam di Universiti Malaya (UM).

Baginda menerima ijazah itu hasil daripada tesis berjudul “The Importance of Islamic Regal Leadership in Zakat Delivery to the Asnaf in Perlis”.

Pengajian PhD baginda bermula dengan pendaftaran pada 2016 dan pada tahun berikutnya baginda telah menghadiri kelas wajib di UM sebanyak 12 kali.

Baginda menerima skrol oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Canselor Universiti Malaya (UM) pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-63 UM yang berlangsung di Dewan Tuanku Canselor hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta anakanda-anakanda baginda berdua iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Tuanku Lailatul mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur sebelum meneruskan sesi persekolahan di Merton Hall-Melbourne Girls Grammar School di Australia sehingga tingkatan enam.

Baginda kemudian meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kemanusiaan (Bachelor Humanities) di La Trobe University, Melbourne, Australia pada 1989 dan melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya iaitu Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada 2014.

Jejak langkah baginda dalam bidang akademik turut diwarisi oleh puteri-puteri Baginda iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah yang menerima Sarjana Muda Politik Antarabangsa dan Antropologi dari Universiti Melbourne manakala Sharifah Farah Adriana pula menerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dari Royal Melbourne Institute Of Technology (RMIT) University di Melbourne dan peringkat Sarjana Perniagaan Antarabangsa dari Monash University Malaysia.

Tuanku Raja Puan Muda Perlis juga merupakan Pro Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF).

Baginda memegang pangkat Mejar Kehormat dalam Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukan Simpanan Tentera Darat, dianugerahkan Sayap Kehormat Polis Diraja Thailand pada 2019 dan Doktor Kehormat (Honoris Causa) Sains Kesihatan dari Universidad Nacional Pedro Henriquez Urena, Republik Dominica. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya