Raja Mohamed Affandi calon BN PRK Kemaman?

Raja Mohamed Affandi calon BN PRK Kemaman?

RAJA MOHAMED AFFANDI RAJA MOHAMED NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Nama bekas pegawai kanan tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor merupakan antara tokoh yang disebut-sebut sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.

Menurut sumber dalaman UMNO kepada Utusan Malaysia, nama Raja Mohamed Affandi, 66, timbul selepas selepas beberapa nama yang dikatakan bakal menjadi calon sebelum ini menyatakan mereka tidak bertanding dalam PRK tersebut.

Antara nama tersebut ialah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad mengumumkan beliau tidak bertanding untuk merampas kerusi Parlimen Kemaman selepas dilantik sebagai Pengarah Jentera BN bagi PRK Parlimen itu manakala Ahmad Shabery pula dikatakan mahu memberi tumpuan terhadap tugasnya selaku Pengerusi Felda.

Walaupun Raja Mohamed Affandi merupakan anak kelahiran Besut, namun pengaruhnya sebagai bekas pegawai kanan tentera mampu memikat pengundi.

Pengundi di Kemaman dikatakan menerima calon dalam kalangan rakyat Terengganu walaupun bukan penduduk daerah ini.

Malah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, calon Pas yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), Datuk Razali Idris menang dengan bergaya mengetepikan Ahmad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal walaupun Ketua Badan Perhubungan Bersatu Terengganu itu lahir di luar Kemaman.

Nama Raja Mohamed Affandi menjadi ‘panas’ di Kemaman apabila Ahmad sebelum ini memberi bayangan calon yang akan bertanding dalam PRK itu merupakan individu yang terkenal.

“Insya-Allah satu kejutan besar akan berlaku di Parlimen Kemaman. Calon (BN) ini ialah antara nama-nama terkemuka negara,” kata Ahmad.

Dalam pada itu, ramai dalam kalangan pemerhati politik di Terengganu menjangkakan bekas Pengarah Biro Tatanegara (BTN) Terengganu, Norzilam Mohamed dipertaruhkan sebagai calon BN dalam PRK tersebut.

Norzilam yang kini bertugas di sebuah kementerian di Putrajaya merupakan anak tempatan dari Kampung Baru Felda Neram, Kemaman.

Beliau merupakan seorang pemimpin yang dikenali ramai terutamanya dalam kalangan peneroka Felda.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias Hamid menang di Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru mengalahkan calon BN, Ahmad (38,535 undi), calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi) dan calon Pejuang, Rosli Ab. Ghani (506 undi).

PRK Parlimen Kemaman bakal diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN