BINTULU: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee berdepan perasaan seperti menduduki ujian terakhir ketika turun ke pusat pengundiannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu di sini hari ini.
“Ia seolah-olah seperti menduduki exam akhir bagi saya kerana saya seolah-olah ada panel temu duga anggaran lebih 22,000 orang (pengundi).
“Sekiranya rezeki diberikan, insya-Allah saya dapat surat tawaran seperti calon lulus temu duga,” katanya ketika ditemui media selepas menjalankan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu di sini hari ini.
Justeru beliau menambah, golongan belia perlu turun untuk menunaikan tanggungjawab mengundi kerana mereka ada tanggungjawab dalam proses demokrasi kali ini.
Beliau bersama isteri, Dayang Loha Awang Sahari selesai mengundi di pusat mengundi SK Bintulu pada pukul 8.45 pagi tadi.
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), dengan sejumlah 22,804 pemilih.
Calon yang dipertandingkan dari parti masing-masing ialah Chieng Lea Phing (ASPIRASI); Iskandar Turkee (GPS) dan Stevensen Joseph Sumbang (PBK). – UTUSAN