BINTULU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak diumumkan sekitar pukul 9 malam nanti, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh.
Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada situasi cuaca dan proses pengiraan di pusat-pusat pengundian berjalan sepanjang tempoh tersebut.
“Dari segi perancangan, kawasan Jepak ini lokasi yang paling jauh pun dalam satu jam, jadi kita jangkakan dalam pukul 9 malam, lebih kurang, keputusan kita akan ketahui.
“Tetapi ini tertakluk kepada keadaan ketika itu juga, diharap cuaca dalam keadaan elok dan tiada kacau ganggu dari segi kiraan dan sebagainya. Cumanya kita menyeru kepada semua pengundi untuk keluar mengundi dan melunaskan tanggungjawab masing-masing,” katanya kepada media di sini hari ini.
Abdul Ghani berkata demikian ketika ditemui selepas melawat pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Bintulu di sini hari ini.
Terdahulu beliau ketika melawat empat lokasi pengundian iaitu dua di sekolah dan dua di rumah panjang berkata, setakat pukul 12 tengah hari tadi, prestasi peratusan yang keluar mengundi hanya 33 peratus.
“Ini saya lihat prestasi yang agak rendah. Sebab itu, saya menyeru semua pengundi agar keluar mengundi supaya peratus keluar mengundi untuk DUN Jepak ini mencapai sasaran kita iaitu 65 peratus dan mengikut masa yang digalakkan kerana kita masih ada masa lagi sehingga pukul 5.30 petang ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, setakat lawatannya, pihak SPR tidak ada menerima sebarang laporan daripada pusat mengundi.
“Ini maknanya semua pengundi-pengundi di DUN Jepak ini melaksanakan tanggungjawab dengan baik, tidak mengganggu kacau mana-mana pihak dan hasil lawatan semua dalam keadaan tenang, aman jadi suasana pengundian berjalan dengan lancar, tidak ada masalah,” katanya.
Setakat pukul 1 petang ini, peratusan pengundi keluar mengundi bagi PRK DUN Jepak adalah 37 peratus.
PRK DUN Jepak menyaksikan persaingan tiga penjuru antara Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bumi Kenyalang (PBK), dengan sejumlah 22,804 pemilih.
Calon yang bertanding ialah Chieng Lea Phing (ASPIRASI); Iskandar Turkee (GPS) dan Stevensen Joseph Sumbang (PBK). – UTUSAN