Prime, Red Scorpion juara Futsal Masjid An-Nur

Prime, Red Scorpion juara Futsal Masjid An-Nur

HAIROL ANUAR MUSA (dua dari kiri) bersama para pemain dalam Kejohanan Futsal An-Nur di kawasan letak kereta Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Pasukan Prime dan Red Scorpion masing-masing mengungguli Kejohanan Futsal An-Nur bawah 16 tahun dan 12 tahun yang diadakan di kawasan letak kerata Masjid An-Nur (MAN), Saujana Utama, Sungai Buloh di sini, semalam.

Dengan kemenangan itu, kedua-dua pasukan yang masing-masing dibarisi oleh lapan pemain membawa pulang wang tunai RM300 dan hamper.  

Kejohanan yang julung kali diadakan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu bawah 16 tahun dan bawah 12 tahun. Ia disertai oleh 10 pasukan yang beraksi seawal pukul 8 pagi.

Keadaan gelanggang yang basah berikutan hujan lebat sejak Sabtu malam tidak menjejaskan aksi para pemain apabila setiap pasukan mempamerkan persembahan terbaik untuk mengatasi lawan masing-masing.

Upacara simbolik sepak mula dilakukan oleh Timbalan Nazir MAN, Azman Omar. Turut sama, Pengarah projek, Hairol Anuar Musa dan Imam 1, Mohd. Radzi Mohd. Zin.

Azman dalam ucapan perasmian berkata, program itu diharap dapat mendekatkan golongan remaja dengan masjid sekali gus memikat mereka menunaikan solat jemaah.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan yang ditunjukkan dalam kejohanan ini, insya-Allah MAN menganjurkan program sukan lain pada masa akan datang,” katanya yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Bagi kategori bawah 16 tahun, tempat kedua dimenangi oleh JCorp FT dan tempat ketiga, Lawack FT. Tempat kedua membawa pulang wang tunai RM200 dan hamper manakala tempat ketiga, wang tunai RM100 dan hamper.

Untuk kategori bawah 12 tahun, tempat kedua dimenangi oleh pasukan ASBP A dan tempat ketiga dimenangi oleh ASBP B.

AZMAN Omar (baris belakang, tengah) bersama salah sebuah pasukan yang memenangi Kejohanan Futsal An-Nur di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor semalam.

Sementara itu, Hairul berkata, pertandingan diadakan secara round-robin dan setiap perlawanan berlangsung selama 10 minit.

“Alhamdulillah, perlawanan berlangsung agak sengit dan saingan peringkat akhir berjaya ditamatkan pada pukul 12.40 tengah hari,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN