PPZ-MAIWP seru tunai ibadah berzakat, ringankan beban B40

PPZ-MAIWP seru tunai ibadah berzakat, ringankan beban B40

PPZ-MAIWP mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kutipan bagi memberi bantuan zakat secara bulanan kepada asnaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pusat Pungutan Zakat Majlis Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menyeru orang ramai menunaikan ibadah berzakat bagi meringankan beban golongan yang memerlukan bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman berkata, seruan itu dibuat kerana jumlah penerima bantuan zakat dijangka meningkat pada tahun hadapan berikutan situasi ekonomi yang masih tidak menentu.

Abdul Hakim Amir Osman

“Sebelum Covid-19 melanda negara, jumlah agihan zakat yang diberikan kepada ketua keluarga secara bulanan berjumlah seramai 25,000 ke 28,000 orang tetapi semasa Covid-19, bilangan itu meningkat kerana faktor kehilangan pekerjaan, syarikat mengecilkan saiz perniagaan, kegiatan ekonomi terhenti, pengurangan gaji dan sebagainya.

“Ini menyebabkan pertambahan bilangan asnaf yang terdapat di Wilayah Persekutuan meningkat dengan begitu drastik dan pasca Covid-19, jumlah penerima bantuan bulanan ini meningkat kepada 30,200 ketua keluarga dan pada tahun hadapan dijangka akan meningkat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, situasi ekonomi semasa turut memberi impak kepada pembayar zakat sehingga ada yang mengurangkan pembayaran berbanding tahun lalu.

“Seramai 50,599 orang pembayar zakat yang mengurangkan bayaran zakat pada tahun lalu dan dalam tempoh Januari hingga Ogos 2023, nilainya bersamaan dengan RM74 juta. Ini berbeza dengan 2022 apabila pengurangan pembayaran zakat sebanyak RM64 juta sahaja dengan jumlah yang melibatkan pembayar seramai 91,226 orang,” katanya.

Namun, katanya, lebih ramai pembayar zakat yang berterusan membayar dan ada juga yang meningkatkan pembayaran zakat mereka setiap tahun.

“Sebanyak 104,040 orang pembayar yang menambah bayaran zakat berbanding tahun lepas dan meningkat sebanyak RM117 juta. Maknanya, ia dapat menutup kelompongan yang dibuat oleh pembayar zakat yang mengurangkan pembayaran mereka,” katanya.

Disebabkan itu, katanya, PPZ-MAIWP berusaha mencapai sasaran kutipan zakat sebanyak RM1 bilion tahun ini.

“Tahun lalu, kita berjaya mengutip sekitar RM937 juta tetapi tahun ini sasaran sebanyak RM1 bilion. Dari Januari sehingga September 2023, jumlah kutipan yang kami berjaya kutip sebanyak RM623.28 juta, terdapat peningkatan sebanyak 6.2 peratus berbanding kutipan tahun lalu,” katanya.

Namun, beliau khuatir, dengan berlakunya peperangan, kekurangan bekalan makanan, kenaikan harga barang, inflasi, kadar ringgit, lebih ramai rakyat yang mungkin terjejas.

“Jadi insya-Allah, kalau melihat rekod kutipan sehingga September lalu, kita optimis bahawa kutipan zakat ini akan berjaya kami capai sehingga angka RM1 bilion tetapi kami perlu bekerja keras dan bersungguh-sungguh bagi memastikan setiap asnaf di Wilayah Persekutuan akan terus terbela,” katanya.

Sebab itu, katanya, PPZ-MAIWP mengambil pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kutipan bagi memberi bantuan zakat secara bulanan oleh pihak MAIWP antaranya tambahan sebanyak RM300 kepada setiap asnaf berjumlah 32,200 melalui E-wallet dan boleh dibelanjakan di mana-mana tempat pasar raya terpilih dengan kos sebanyak RM108 juta setahun.

Katanya, PPZ-MAIWP turut mengadakan pelbagaikan bentuk dakwah, promosi mengenai kewajiban berzakat, program turun padang, menjalin rakan strategik dengan syarikat lain seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), FGV dan Bank Islam.

“Kami akan panjangkan di setiap Parlimen yang ada di Wilayah Persekutuan untuk pihak MAIWP santuni masyarakat dan barang-barang keperluan harian di samping bantuan secara tetap ataupun secara bulanan. Kami juga bergerak aktif memberi taklimat serta memberi kesedaran di setiap agensi-agensi swasta dan kerajaan,” katanya.

Katanya lagi, PPZ-MAIWP turut mengadakan kempen bersasar seperti Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB), kempen mesra niaga, kempen Jom Tambah.

Oleh itu, beliau menggalakkan orang ramai membayar zakat melalui potongan gaji secara bulanan kerana banyak manfaat daripada kaedah tersebut seperti meraih rebat daripada cukai pendapatan individu masing-masing dan layak memohon skim khairat kematian.

“Fakir miskin di Wilayah Persekutuan memerlukan bantuan secara konsisten, jadi kami perlu memastikan kutipan zakat juga boleh dibuat secara konsisten. Jadi salah satu cara terbaik ialah melalui potongan gaji kerana ia boleh diselaras terus dengan potongan cukai berjadual.

“Bagi mereka yang telah membayar zakat sebelum ini melalui potongan gaji kita mahu kempen supaya mereka tambah potongan zakat sebab setiap tahun gaji naik. Sepatutnya zakat juga akan naik setiap tahun seiring dengan kenaikan gaji,” katanya.

Tambahnya, pembayar zakat berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik seperti pakej percutian ke Balkan, iPhone 15, vakum Dyson dan banyak lagi hadiah yang ditawarkan.

Justeru, beliau menyeru kepada masyarakat supaya membantu PPZ-MAIWP menguar-uarkan kewajipan berzakat kepada ahli keluarga, sahabat, handai, rakan sekerja dan sebagainya.

“Kira-kira 64 peratus pembayar zakat membuat potongan gaji dan PPZ-MAIWP turut bersama-sama kerajaan dalam usaha menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.

“Rebutlah peluang ini, ada dua bulan lagi sebelum tamatnya tirai 2023 berlabuh sebelum 31 Disember, jangan buat pembayaran zakat di saat-saat akhir,” katanya.

Bayaran zakat melalui potongan gaji boleh dibuat dengan melayari portal https://ptg.zakat.com.my/ atau mengisi borang yang boleh diperoleh di mana-mana kaunter PPZ-MAIWP, kaunter bergerak PPZ-MAIWP ataupun boleh pergi terus kepada majikan masing-masing untuk mendapatkan borang potongan gaji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya