Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM6.3 juta - Utusan Malaysia

Polis tahan dua lelaki, rampas dadah bernilai RM6.3 juta

Polis dadah
S. Sasikala Devi menunjukkan dadah jenis metamfetamin yang dibungkus dalam plastik berlabel teh cina dalam sidang akhbar dekat Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis menahan dua lelaki bersama 190 bungkusan dadah seberat 191.52 kilogram (kg) bernilai RM6.3 juta dekat sebuah kawasan di Bukit Puchong, di sini pada 12 November lalu.

Suspek ketika itu berada dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza ditahan sebelum polis menemukan bungkusan dadah terbabit dalam bonet sebuah trak jenis Ford Rangers yang diletakkan kira-kira 15 meter dari lokasi tangkapan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S. Sasikala Devi berkata, serbuan tersebut dilakukan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya kira-kira pukul 7.30 malam selepas membuat risikan selama seminggu.

“Pemeriksaan polis terhadap Ford Ranger terbabit menemukan lapan bungkusan guni pelbagai warna di dalamnya terdapat 190 bungkusan plastik berwarna hijau, berlabel teh cina dan bertulis ‘Guanyin Wang Refined Chinese Tea’.

“Masing-masing mengandungi bungkusan plastik lutsinar bahan disyaki dadah metamfetamin dengan berat keseluruhan dianggarkan 191,516 gram bernilai RM6.3 juta untuk kegunaan kira-kira 383,023 pengguna,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau menambah, siasatan awal mendapati dadah tersebut di bawa dari bahagian utara Pantai Timur negara ini ke Lembah Klang untuk tujuan transit sebelum dibawa ke Kedah, bagaimanapun tiada kegunaan atau edaran dibuat di sekitar negeri ini atau sekitarnya.

Jelas Sasikala Devi, polis kemudian menahan reman kedua-dua lelaki berusia 32 dan 36 tahun itu yang masing-masing bekerja sebagai buruh kontrak dan mekanik kereta selama sembilan hari sehingga 22 November ini untuk membantu siasatan.

Menurutnya, selain dadah, polis turut menahan kereta jenis Perodua Alza dan Ford Ranger berkenaan sebagai barang kes.

“Kedua-dua suspek direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah sementara kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup atau 15 sebatan.

“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor berharap masyarakat akan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka. Maklumat boleh disalurkan menerus talian JSKN 012-2097222,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya