Polis pantau 4 kumpulan militan Filipina

Polis pantau 4 kumpulan militan Filipina

PASUKAN keselamatan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan di perairan Sabah bagi mengekang pencerobohan militan Abu Sayyaf.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memantau militan dari Filipina iaitu Kumpulan Abu Sayyaf (ASG), Culik Untuk Wang Tebusan (KFRG), Islamic State Daulah Islamiyah (ISDI) serta Royal Security Force (RSF) yang dilihat berpotensi melakukan keganasan di negara ini.

Hasil pemerhatian pasukan keselamatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) sejak 2014 mendapati kumpulan yang dianggotai purata umur antara 28 sehingga 50 tahun itu melakukan aktiviti Jenayah Rentas Sempadan (JRS) dengan melakukan aktiviti penculikan bagi mendapatkan wang tebusan sepanjang tempoh itu.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Komander ESSCom, Datuk Victor Sanjos berkata, modus operandi penculikan itu dilihat menyasarkan pelancong asing, pengusaha sangkar ikan di sekitar pulau pelancongan di sekitar kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Kata beliau, oleh kerana peningkatan kawalan oleh pihak ESSCOM dan pasukan keselamatan di kawasan berkenaan pada 2016 sehingga 2020, para penculik kemudiannya menyasarkan kapal ikan serta tugboat yang sedang bergerak di Perairan ESSZONE.

“Hasil daripada perkongsian maklumat dan operasi khas yang dijalankan mendapati ASG atau KFRG akan menggunakan penunjuk arah ataupun spotter bagi mengenalpasti sasaran yang bernilai untuk dijadikan tebusan.

“Spotter ini adalah dalam kalangan nelayan ataupun mereka yang sudah berada di dalam Sabah dan bekerja di Sabah yang mahir dengan kawasan perairan di ESSZONE serta mengetahui dan sentiasa memantau pergerakan pasukan keselamatan yang bertugas di perairan Sabah,” katanya di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, kumpulan itu juga dikesan akan bersembunyi dan menyamar sebagai nelayan kecil atau bercampur dengan penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan sasaran dalam tempoh tertentu.

Victor memberitahu, sejak 2014 juga perintah berkurung dikuatkuasakan di perairan Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Sandakan di Sabah sebagai langkah pencegahan daripada aktiviti penculikan dan ancaman di kawasan itu.

Kata beliau, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 20 penculikan berlaku iaitu kes tertinggi direkodkan pada 2016 dengan 10 kes diikuti 2014 (empat kes); 2018 dan 2019 (masing-masing dua).

Ujar beliau, masing-masing sebanyak satu kes penculikan direkodkan pada 2015 dan 2020 manakala 2017 tiada kes dilaporkan.

“Namun, bagi tempoh tiga tahun kebelakangan sehingga kini, kita telah merekodkan sifar kes penculikan sejak Januari 2020 dan ini sekali gus membuktikan pasukan keselamatan di ESSZone berhasil mengekang ancaman militan dan membendung jenayah rentas sempadan.

“Kita juga telah menahan seramai 41 orang ahli kumpulan pengganas dalam beberapa siri Operasi Khas yang dijalankan oleh Esscom di seluruh kawasan Esszone sejak 2018,” ujarnya.

Tambah beliau, dalam tempoh sama, lima sel kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang menjadikan Sabah sebagai Safe Haven mereka juga telah dilumpuhkan.

“Yang mana, jika tidak diambil tindakan terhadap kumpulan ini berkemungkinan mereka berpotensi melakukan insiden keganasan sehingga mengancam keselamatan negara,” jelasnya.

Sementara itu, Victor berkata, sejak 2018 sehingga September lalu, ESSCom telah mengeluarkan lima siri senarai individu dikehendaki sejak tahun 2018.

“Sehingga kini seramai 13 orang individu warga asing yang paling dikehendaki kerana terlibat dalam aktiviti JRS berkaitan jenayah culik dan aktiviti pengganas masih diburu.

“Jenayah ini tidak mengenal kerakyatan. Bagaimanapun, fokus utama ESSCom dan pihak keselamatan lain di Sabah adalah bagi memastikan tahap keselamatan rakyat dan kedaulatan negara kekal terpelihara darpada ancaman jenayah yang datang dari luar meskipun modus operandi jenayah dan elemen pengganas sentiasa berubah.

“Justeru itu, ke arah mendepani ancaman, ESSCom tidak sesekali akan menurunkan tahap pemantauan keselamatan melibatkan kawalan di kawasan perairan, darat dan udara khasnya di Esszone,” tegasnya.

Dalam perkembangan berasingan, kata Victor, Perintah Berkurung Sabah No.220 yang tamat pada 17 Oktober lalu telah dilanjutkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan ESS Zone Sabah No.1 di bawah Seksyen 31(4) Akta Polis 1967.

Jelas beliau, Perintah Kawalan Pergerakan tersebut berkuat kuasa mulai 18 Oktober hingga 1 November lalu bagi tempoh selama 14 hari dan kini hanya melibatkan enam daerah iaitu Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Victor berkata, daerah Tawau dikecualikan memandangkan jaminan keselamatan yang semakin mengukuh sehingga tiada kes-kes penculikan serta ancaman nyata daripada RSF dan elemen militan atau jenayah rentas sempadan seperti ASG dan KFRG di daerah tersebut.

“Dari segi pengoperasian, kekal dengan penguatkuasaan kawalan pergerakan di kawasan perairan yang melebihi jarak 3 batu nautika ke atas dari pukul 6.00 petang hingga 6.00 pagi.

“Oleh itu, pihak yang mempunyai keperluan mendesak atau komuniti maritim seperti nelayan laut dalam dibenarkan memohon Permit Pengecualian Perintah Berkurung di bawah Seksyen 31(3) Akta Polis daripada pihak PDRM di setiap daerah terbabit bagi menjalankan aktiviti perikanan melebihi had jarak tersebut.

“Penduduk setempat, penyelidik, nelayan pesisir pantai atau pelancong bebas bergerak dan menjalankan aktiviti seperti biasa dalam lingkungan jarak 3 batu nautika daripada garis pesisir pantai sama ada pada waktu siang atau malam,” jelanya.

Beliau berkata, menerusi penjenamaan dan pengecilan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan ESS Zone ini, pihak media dapat menyampaikan maklumat sahih mengenai keadaan keselamatan semasa agar aktiviti sektor pelancongan dan pengembangan syarikat tempatan di wilayah ini dapat dipertingkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN