PIBG MCKK selar tindakan keluarga pelajar buruk imej sekolah

Buli: PIBG MCKK selar tindakan keluarga pelajar tularkan kes buli dakwa burukkan imej sekolah

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menyelar tindakan ahli keluarga pelajar yang menularkan kejadian buli di sekolah berkenaan kerana dianggap memberi imej buruk kepada sekolah berasrama penuh tersebut.

PIBG MCKK dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum bahawa kes disiplin tersebut telah selesai disiasat dan diambil tindakan oleh pihak sekolah. 

Justeru,  persatuan berkenaan mengambil pendirian bahawa keputusan yang diambil pihak sekolah perlu dihormati atas dasar pertimbangan yang sewajarnya diberikan atas faktor kebajikan dan kebaikan semua pihak.

“Pihak sekolah telah mematuhi semua tatacara dan prosedur sewajarnya dalam mengambil keputusan. Keputusan yang diambil oleh pihak sekolah dianggap telus tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak.

“PIBG MCKK mengambil maklum ancaman penularan kes ini melalui surat yang diutuskan oleh sekumpulan ibu bapa murid-murid tingkatan empat sekiranya keputusan dan tindakan semasa pihak sekolah ke atas murid terlibat tidak diubah. Kami menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa tersebut di dalam pengurusan sekolah ini,” kata kenyataan itu.

Tular dalam laman Instagram pada Jumaat yang memaparkan seorang pelajar sekolah dimasukkan ke hospital dipercayai dibuli senior di sebuah sekolah di Kuala Kangsar.

Turut tular sepucuk surat rayuan terhadap keputusan hukuman disiplin terhadap pelaku-pelaku yang diminta berkelakuan baik, dirotan dan membuat kerja amal di sekolah.

Bagaimanapun, pada 4 November lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian buli membabitkan pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh tersebut.

Laporan kejadian itu diterima pada 24 September lalu melibatkan tiga mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat. 

Dalam pada itu, PIBG MCKK mencadangkan beberapa langkah kepada pihak sekolah antaranya para pelajar tidak dibenarkan keluar bersendirian ke Kuala Kangsar bagi satu tempoh yang bersesuaian shingga isu diselesaikan manakala mereka tidak akan membalas sebarang serangan atau provokasi diterima dari pihak luar.

Selain itu, para pelajar MCKK akan membuat laporan kepada pihak sekolah sekiranya berlaku gangguan serangan atau provokasi oleh pihak luar sepanjang berada di Kuala Kangsar.

“Pihak MCKK akan membantu membuat laporan polis sekiranya berlaku kacau ganggu kepada murid MCKK. Pihak kaunseling MCKK terus memantau sebarang gangguan emosi yang mungkin berlaku di kalangan pelajar-pelajar,” katanya.

Sekali lagi, PIBG MCKK kesal dengan tindakan keluarga murid tersebut yang tidak bertimbang rasa dan mementingkan diri sendiri sehingga menularkan kes ini.

“PIBG MCKK yakin kes ini akan memberi pengajaran kepada ibu bapa lain agar tidak mencampuri urusan sekolah dan meyakini serta berlapang dada kepada sebarang keputusan yang dibuat oleh pihak pengurusan MCKK. 

“Keputusan dan pertimbangan oleh pihak sekolah dan Pengetua adalah semata-mata untuk kebajikan, kebaikan dan kejayaan semua pelajar MCKK di masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya