Pesta Loy Krathong ada permit sah

Pesta Loy Krathong ada permit sah

Hilmi Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menjelaskan Pesta Loy Krathong di Bachok pada Jumaat lalu yang turut menyelitkan penganjuran konsert melibatkan penampilan penyanyi dari Thailand mempunyai permit sah daripada pihak berkuasa tempatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, bagaimanapun wujud pelanggaran beberapa peraturan atau syarat yang ditetapkan semasa penganjuran pesta dan konsert tersebut.

Menurutnya, susulan penularan video berkaitan pesta dan konsert tersebut, satu penyiasatan dan proses pendengaran telah diadakan oleh Ketua Jajahan Bachok, Shamsul Abu Bakar.

“Sesi penyiasatan dan proses pendengaran berkaitan pesta dan konsert tersebut turut dihadiri Majlis Daerah Bachok, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Agama Jajahan Bachok, Penggawa Daerah Bachok dan wakil penganjur iaitu Jawatankuasa Watt Pathumviharn dan badan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Kelantan.

“Hasil siasatan mendapati kelulusan permit diberikan kerana penganjuran program adalah di tempat tertutup oleh institusi agama Buddha dan dikhaskan untuk penganut agama itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guchil itu memberitahu, Loy Krathong merupakan upacara keagamaan dan kebudayaan masyarakat Siam dan permit telah dimohon oleh penganjur pada 25 Jun dan diluluskan pada 20 September tahun ini.

Katanya, antara peraturan yang dikenal pasti telah dilanggar adalah membenarkan pengunjung Melayu beragama Islam memasuki kawasan pesta dan penampilan artis tidak mematuhi etika kod pemakaian ditetapkan.

“Menurut pihak penganjur, semua poster promosi dikeluarkan dalam bahasa Thailand dan mereka telah menyediakan papan tanda memaklumkan pesta berkenaan tidak dibuka kepada penduduk Islam Bachok yang turut diletakkan di pintu masuk.

“Penganjur memaklumkan situasi berkenaan di luar kawalan berikutan hanya seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) bertugas pada hari itu sehingga membenarkan pengunjung beragama Islam masuk dan artis gagal mengikut etika kod pemakaian,” ujarnya.

Mohd. Hilmi berkata, kerajaan negeri akan meneliti bentuk kesalahan serta pelanggaran syarat yang dilakukan dan tidak akan teragak-agak mengenakan denda tidak melebihi RM10,000 terhadap pihak penganjur.

Katanya Pesta Loy Krathong merupakan acara tahunan yang sentiasa dianjurkan oleh Wat Pathumviharn dan ini merupakan kali pertama pihak berkenaan melakukan pelanggaran peraturan-peraturan ditetapkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN