Pesara rugi RM299,373.40 kerana pelaburan palsu

Pesara rugi RM299,373.40 kerana pelaburan palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU PAHAT: Seorang pesara kerajaan rugi sebanyak RM299,373.40 selepas percaya dengan pelaburan yang kononnya memberi pulangan lumayan melalui iklan di Facebook. 

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian bermula pada April tahun ini apabila mangsa yang juga seorang wanita berusia 62 tahun membuat urusan dengan seorang lelaki. 

Katanya, urusan dengan menggunakan aplikasi Facebook dan WhatsApp dilakukan kerana mangsa berminat untuk menyertai pelaburan bitcoin yang menggunakan nama Syarikat Bitcoin Yoamax. 

“Untuk tujuan itu, mangsa memulakan pelaburan sebanyak RM35,320 melalui tujuh transaksi akaun bank berbeza secara berperingkat, menyerahkan data peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan selain maklumat perbankan untuk urusan berkenaan serta memuat turun aplikasi Yoamax. 

“Mangsa kemudiannya dihubungi kononnya mendapat keuntungan daripada pelaburan awal, namun, diminta untuk memasukkan wang berjumlah RM164,417 jika ingin mengeluarkan duit tersebut,” katanya melalui kenyataan hari ini. 

Menurut Ismail lagi, suspek memberitahu mangsa bahawa wang tersebut akan dikembalikan sekiranya mangsa tidak terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram. 

Ujarnya, penipuan tidak habis disitu sahaja apabila mangsa juga dikehendaki memasukkan wang berjumlah RM99,636 atas tujuan pembayaran pertukaran wang asing. 

“Bagaimanapun sehingga hari ini, mangsa masih belum mendapat sebarang bayaran serta keuntungan yang dinyatakan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Batu Pahat, semalam. 

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksima 10 tahun, sebat serta denda. 

“Polis menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati apabila menerima panggilan daripada nombor yang tidak dikenali dan membuat semakan dengan pihak berkuasa yang berkaitan jika mempunyai keraguan,”katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN