Pesalah jenayah lari luar negara ‘helah’ lepas diri hukuman

Pesalah jenayah lari luar negara ‘helah’ lepas diri berdepan hukuman

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pesalah kes jenayah didapati melarikan diri ke luar negara sebagai helah untuk melepaskan diri daripada berdepan hukuman dan pendakwaan mahkamah.

Apatah lagi mereka mengambil kesempatan pihak luar yang tidak mengiktiraf perundangan seperti hukuman mati mandatori dan penolakan Malaysia terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) untuk berlindung serta mengelakkan daripada dikenakan sebarang tindakan di negara ini.

Meskipun tertuduh atau suspek boleh dibawa pulang sekiranya kerajaan Malaysia memohon ekstradisi atau perjanjian kerjasama hukuman, ia bergantung kepada ketetapan negara terlibat sama ada dibenarkan atau tidak dengan melihat status jenayah dilakukan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, permohonan ekstradisi untuk membawa pulang tertuduh akan dibenarkan sekiranya dia melakukan jenayah sama negara di negara berkenaan seperti kesalahan bunuh, rasuah dan jenayah seksual.

Katanya, soal itu termasuk pengiktirafan negara berkenaan terhadap hukuman yang telah disabitkan oleh badan mahkamah Malaysia.

“Misalnya kesalahan bunuh, mana-mana negara tidak iktiraf kesalahan ini. Tetapi ada negara tidak iktiraf hukuman mati, maka menyebabkan mereka tidak membenarkan individu yang melarikan diri daripada dihantar pulang.

“Memang kerajaan Malaysia boleh mohon ekstradisi, namun kena tengok hukuman tersebut. Ada negara tidak iktiraf hukuman ditetapkan. Bagaimanapun memandangkan Malaysia telah memansuhkan hukuman mati mandatori, sepatutnya kerajaan boleh mohon ekstradisi untuk bawa pulang tertuduh,” katanya.

Sebelum ini, terdapat rakyat Malaysia antaranya bekas anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sirul Azhar Umar telah melarikan diri ke Australia sebelum Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan terhadapnya dan seorang lagi tertuduh, Azilah Hadri di atas kesalahan membunuh seorang model, Altantuya Shaariibu.

Sirul Azhar dan Azilah sebelum ini dihukum gantung oleh Mahkamah Tinggi, namun mereka dibebaskan selepas berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan.

Bagaimanapun pendakwaan memohon rayuan terhadap pembebasan tersebut dan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman yang pernah diputuskan Mahkamah Tinggi.

Sirul Azhar kemudian sempat berlepas ke Australia sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan itu dan kemudian ditahan pihak berkuasa Australia, namun dasar negara itu tidak mengiktiraf hukuman mati menyebabkannya terus kekal berada di negara itu sehingga kini manakala Azilah pula sedang meringkuk di penjara.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff Khatri berkata, kerajaan perlu memaklumkan kepada negara lain bahawa Malaysia telah memansuhkan hukuman mati mandatori dengan pesalah berpeluang menerima semakan hukuman selepas dibawa pulang.

“Saya yakin tiada negara mahu melindungi penjenayah dan menyimpan pesalah kerana mereka juga tanah air berdaulat dan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, mana-mana individu yang telah dibebaskan mahkamah daripada sebarang pertuduhan bebas bergerak ke mana-mana tanpa sekatan meskipun Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan di peringkat mahkamah atasan.

Justeru itu, kata beliau, tidak wajar untuk menyekat mana-mana pihak untuk bergerak bebas kerana prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Sebaliknya kata Muhammad Rafique, perkara itu tidak terpakai untuk tertuduh yang sedang menjalani proses pembicaraan dan dalam siasatan pihak berkuasa.

“Ketika proses perbicaraan, pendakwaan akan memohon mahkamah untuk mengambil pasport tertuduh bagi mengelakkan dia melarikan diri. Namun selepas bebas sabitan, dia bebas bergerak termasuk ke luar negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN