KANGAR: Kerancakan pelancongan di Hatyai, Thailand tidak menjejaskan Perlis sebaliknya turut membantu merancakkan ekonomi dan pelancongan di negeri ini yang menjadi tempat persinggahan pelancong sebelum atau selepas berkunjung ke negara jiran berkenaan.
Sempena cuti Deepavali dan cuti hujung minggu lalu, Perlis menerima kehadiran puluhan ribu pengunjung dengan menyaksikan hotel dan inap-inap desa juga penuh.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, kehadiran pengunjung di negeri ini sepanjang minggu lalu juga disebabkan penganjuran beberapa program besar di Perlis.
Katanya, antara lokasi yang menjadi tumpuan dan dipenuhi pelancong seperti Timah Tasoh, Wang Kelian, Bukit Ayer, Padang Besar dan nat pokok getah yang dipenuhi pengunjung.
Ujarnya, Perlis juga menjadi tumpuan kerana berbeza dari negeri-negeri lain berikutan pemandangan yang cantik dan suasana kampung yang cukup memberi ketenangan kepada pengunjung.
“Selain itu, pilihan makanan yang banyak dengan harga yang berpatutan turut menarik tumpuan pengunjung ke Perlis.
“Malah, pelancong yang ke Thailand menggunakan kenderaan sendiri pasti ada yang singgah di Perlis sama ada sebelum atau selepas ke negara jiran tersebut.
“Apabila ada yang singgah dan berbelanja di Perlis, sudah pasti turut membantu merancakkan pelancongan dan ekonomi rakyat Perlis,” katanya.
Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, Hatyai, Thailand menjadi fenomena baharu apabila lokasi pelancongan utama itu sesak dengan pelancong khususnya dari Malaysia yang mengambil kesempatan cuti panjang bersempena perayaan Deepavali dan hujung minggu untuk berkunjung ke sana.
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar kawasan bandar Hatyai pada Sabtu dan Ahad mendapati lokasi pelancongan, kedai makan dan hotel sekitar di situ penuh dengan kehadiran rakyat Malaysia, malah, di jalan- jalan raya penuh dengan bas pelancong.
Malah, seawal pagi, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar sesak dengan ribuan pelancong termasuk yang menaiki ratusan bas dan kereta untuk ke Hatyai.-UTUSAN










