PUTRAJAYA: Rayuan kerajaan berhubung perintah untuk membayar ganti rugi RM300,000 kepada bekas Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kerana penahanannya mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada 2015 dibuat secara salah akan didengar pada 6 Mac 2024.
Turut didengar pada tarikh sama ialah rayuan Khairuddin yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan berhubung jumlah ganti rugi tersebut.
Rayuan tersebut sepatutnya didengar secara dalam talian pada hari ini, namun, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk S. Nantha Balan berpendapat bahawa rayuan terbabit adalah lebih baik didengar di mahkamah terbuka kerana ia membabitkan isu kepentingan awam.
“Isu yang dibangkitkan adalah berkepentingan awam jadi adalah lebih baik untuk kesemua pihak termasuk Khairuddin hadir untuk mendengar sendiri. Pihak-pihak juga diminta untuk memfailkan hujahan lanjut mengenai isu niat jahat (malice) seperti bagaimana hendak membuktikan niat jahat sesuatu pihak,” ujar Hakim Nantha Balan pada prosiding dalam talian itu.
Turut bersidang pada prosiding dalam talian itu ialah Hakim-Hakim Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali dan Datuk Dr. Choo Kah Sing.
Peguam Kanan Persekutuan, Andi Razalijaya A. Dadi yang mewakili kerajaan dan beberapa pihak lain serta peguam bela, Hanif Khatri Abdullah bersetuju dengan cadangan panel terbabit.
Tarikh pendengaran tersebut ditetapkan pada pengurusan kes yang dijalankan pada sesi petang di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norkamilah Aziz yang disertai oleh Peguam Kanan Persekutuan, Siti Syakimah Ibrahim manakala Khairuddin diwakili peguam, Nurul Huda Razali.
Pada 24 Ogos 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Khairuddin layak menerima ganti rugi selepas berjaya membuktikan penahanannya di Penjara Sungai Buloh selama 56 hari itu dibuat menyalahi undang-undang.
Bagaimanapun, mahkamah memutuskan untuk menolak dakwaan Khairuddin bahawa kerajaan membuat pendakwaan berniat jahat terhadapnya.
Sekitar Mei 2018, Khairussin memfailkan saman dengan menamakan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan enam individu lain berhubung penahanannya di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
Enam individu yang dinamakan sebagai defendan ialah Asisten Superintendan Wan Aeidil Wan Abdullah dan Asisten Superintendan C. Muniandy, kedua-duanya pegawai penyiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman; Timbalan Ketua Polis Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Superintendan Habibi Majinji, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Masri Mohd Daud, Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud dan Kerajaan Malaysia.
Khairuddin mendakwa ditahan pihak berkuasa pada 18 September 2015 mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan sebelum dibebaskan pada 23 September tahun sama tetapi ditahan semula mengikut SOSMA. Secara keseluruhan, Khairuddin ditahan selama 56 hari di Penjara Sungai Buloh.
Khairuddin kemudian dituduh di Mahkamah Majistret mengikut Seksyen 124L SOSMA atas dakwaan cuba sabotaj perkhidmatan perbankan dan kewangan negara. Turut didakwa bersamanya atas tuduhan serupa ialah peguam, Matthias Chang.
Pada 12 Mei 2017, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Khairuddin serta Matthias daripada pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan mendapat arahan untuk tidak meneruskan kes itu. -UTUSAN