Penginapan mewah buat si bulus - Utusan Malaysia

Penginapan mewah buat si bulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERTAMA kali melangkah masuk ke premis yang terletak di tingkat tiga deretan rumah kedai ini, hati saya berasa begitu tenang melihat ruang utama persis kaunter pendaftaran sebuah hotel. 

Bukan manusia sahaja mahu dilayan seperti ‘raja’, tetapi haiwan peliharaan seperti kucing juga kini sudah mempunyai banyak pilihan untuk check-in di mana-mana premis yang menyediakan perkhidmatan boarding

Tidak terkecuali Catizen di Bandar Mahkota Cheras yang menyediakan penginapan buat si bulus. Ada 41 bilik disediakan yang boleh memuatkan 100 kucing pada satu-satu masa. 

Staf, Hamidah Mohammad Nadzri dan rakan sekerjanya, Salehah Suhaimi tidak kekok melakukan kerja membersihkan setiap bilik untuk dihuni si bulus. 

Kata Hamidah, sudah menjadi rutin hariannya untuk membersihkan najis, memberikan makan dan menukar pasir pada setiap pagi. 

“Kami bagi kucing makan sebanyak tiga kali sehari, iaitu pagi, tengah hari dan petang. 

“Makanan diberikan dalam kuantiti 60 hingga 80 gram menggunakan produk berkualiti,” katanya ketika ditemui di premis itu, baru-baru ini. 

MASA BERMAIN

 

Setiap kucing yang datang menginap mempunyai masa bermain sendiri. Malah mereka akan pastikan setiap kucing tidak bercampur antara satu sama lain kerana bimbang penularan penyakit berjangkit. 

“Kita akan bagi mereka masa bermain sendiri bagi mengelakkan mereka bosan. 

“Kalau kucing tak banyak, kita bagi tempoh selama sejam masa bermain. Kalau banyak, kita hadkan masa bermain,” kata Hamidah. 

Hotel kucing tersebut sering mendapat sambutan pelanggan pada hujung minggu, cuti sekolah, cuti umum dan ketika musim perayaan. 

“Ada yang hantar sebab urusan kerja dan paling lama ada pelanggan yang pernah tinggalkan kucing selama lebih setahun. 

“Paling ramai tinggalkan kucing mereka di sini semasa musim menunaikan ibadah haji,” kongsinya. 

Pelbagai jenis kucing yang ditinggalkan pemiliknya di premis itu, antaranya baka Maine Coon, British Shorthair, Persian dan Munchkin. 

SYARAT MENGINAP 

Bagi mengelakkan sebarang jangkitan antara kucing lain yang ditempatkan di hotel itu, Hamidah berkata, setiap pemilik perlu memastikan haiwan peliharaan mereka sudah divaksin, sihat, diberikan ubat cacing tiga bulan sekali dan ubat kutu, sebulan sekali. 

“Sebelum mendaftar masuk, kami akan periksa jadual vaksin terlebih dahulu. Vaksin penting merangsang imunisasi dan antibodi badan bagi menghalang jangkitan penyakit yang disebabkan oleh virus dan bakteria. 

“Kalau tak vaksin, kucing boleh terkena penyakit yang membawa kepada kematian dan ia boleh menjangkiti kucing lain,” kongsinya. 

Catizen beroperasi sejak dua bulan lalu, dimiliki Sufian Sukri dan Khairul Najmi Zaffri. 

Ia turut mempunyai dua cawangan lain di Puchong dan Taman OUG, Kuchai Lama, Kuala Lumpur. 

Penginapan bagi satu malam di hotel tersebut ditawarkan bermula RM25. 

Selain penginapan untuk si bulus, pihaknya turut menawarkan khidmat grooming dengan menyediakan pakej seperti memotong kuku, pembersihan mata dan telinga serta mandian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya