MELAKA: Pengecualian visa selama 30 hari untuk pelawat dari China dan India selain negara rantau Asia Barat membantu memacu kehadiran pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, Melaka kini berada di landasan terbaik untuk mencapai sasaran kedatangan pelancong antara 15 hingga 18 juta orang pada tahun depan susulan inisiatif terbaharu kerajaan Persekutuan itu.
Kata beliau, saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dibuat tepat pada masanya.
“Melaka menyambut baik saranan Perdana Menteri dan saya yakin tanpa Visa akan menyumbang kepada pertambahan kehadiran pelancong ke negeri ini. Ini merupakan inisiatif yang amat membanggakan kepada sektor pelancongan Melaka.
“Susulan itu, kerajaan negeri akan mempergiatkan lagi promosi pelancongan ke beberapa wilayah di China di samping menguar-uarkan melancong ke Malaysia tidak lagi memerlukan permit (visa). Sebelum ini kita telah buat (promosi) dengan agen-agen di China dan mendapat kerjasama daripada kedutaan untuk mempromosikan TMM 2024.
“Rakyat China merupakan pelancong yang paling ramai berkunjung ke Melaka sebelum ini. Justeru, TMM 2024 ini akan jadi kayu pengukur kepada kedatangan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya pada sidang akhbar Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari untuk pelawat dari China dan India selain negara-negara rantau Asia Barat termasuk Turkiye dan Jordan mulai 1 Disember depan.
Inisiatif itu bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dengan China dan negara-negara sahabat di Asia Barat untuk datang bercuti di Malaysia.
Tambah Abdul Razak, bagi menarik kedatangan pelancong Asia Barat, kerajaan negeri akan memperkenalkan lebih banyak produk pelancongan Islam.
Menurutnya, perkara itu telah disampaikan kepada agen kembara dan pelancongan susulan sambutan yang menggalakkan ketika menghadiri Halal Ekspo 2023 di Istanbul, Turkiye.-UTUSAN