IPOH: Kerajaan negeri tetap meneruskan projek penerokaan hutan di mukim Senggang, Kuala Kangsar meskipun dibantah penduduk setempat yang mendakwa aktiviti pembalakan di situ boleh mengancam alam sekitar dan keselamatan mereka.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad malah berkata, usaha itu telah mendapat kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) yang membolehkan rancangan tersebut diteruskan.
Jelas beliau, kawasan antara Gunung Bubu dan pekan Manong itu telah dinyahwartakan daripada status hutan simpan dan kerajaan bersetuju memberikan tanah tersebut kepada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri (SADC) bagi tujuan program usahawan tani belia.
Saarani memberi jaminan aktiviti berkenaan termasuk penebangan pokok akan mematuhi kehendak EIA.
“Proses untuk penebangan kita tidak akan tebang sekali gus. Tebang secara berperingkat. Tidak akan dibenarkan untuk menebang dalam masa musim hujan.
“Ada prosedur mereka perlu memulihara dengan menanam pokok untuk mengelakkan berlaku hakisan.
“Orang ramai tidak perlu bimbang sebab kita tidak akan mendedahkan punca banjir atau menyusahkan orang ramai. Kita belajar daripada pengalaman,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Halal Malaysia 2023 peringkat negeri Perak anjuran Halal Development Corporation Bhd. di sini hari ini.
Pada 24 November lalu, penduduk di mukim Senggang bersama pertubuhan bukan kerajaan Sahabat Alam Malaysia membantah projek pembalakan tersebut kerana percaya akan menjejaskan beberapa kawasan kampung berdekatan.
Bantahan itu juga dibuat kerana penduduk mendakwa tidak diberikan penerangan tentang usaha tersebut selain mempersoalkan kepatuhan dari segi undang-undang.
Penduduk khuatir akan berlakunya banjir selain menjejaskan hasil hutan akibat pembukaan kawasan itu yang dianggarkan seluas 266 hektar.
Namun jelas Menteri Besar, tanah itu mahu dibangunkan supaya membolehkan golongan belia berpeluang menjadi usahawan tani.
Mengenai majlis yang dihadirinya, Saarani memuji usaha tersebut kerana selari dengan hasrat Perak untuk meraih manfaat industri halal.
Katanya, Perak mahu meningkatkan bilangan usahawan yang memiliki sijil halal di negeri itu yang ketika ini berjumlah sebanyak 882 mengikut statistik setakat Mac 2023. – UTUSAN