PETALING JAYA: Masalah pendawaian dipercayai punca kebakaran yang memusnahkan kira-kira 20 gerai dan pusat gimnasium di Uptown Kota Damansara di sini, malam tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Wan Md. Razali Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati kebakaran itu disebabkan masalah elektrik daripada sistem pendawaian di salah sebuah gerai di lokasi kejadian.
“Berdasarkan keterangan saksi, terdapat percikan api berhampiran kotak agihan elektrik di situ.
“Bagaimanapun siasatan lanjut masih dijalankan oleh pegawai forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, menurut Wan Md. Razali, api merebak dengan cepat disebabkan struktur khemah dan barangan jualan yang mudah terbakar.
“Namun kebakaran dapat dikawal dan dipadam dalam masa 20 minit,” katanya.
Sementara itu,, Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 1 Shah Alam, Ahmad Zaidi Safuan berkata, kebakaran membabitkan 20 khemah tidak kekal berkeluasan 10×10 kaki persegi serta sebuah premis struktur kekal yang beroperasi sebagai sebuah gimnasium.
“Buat masa ini kita belum dapat menganggarkan keseluruhan jumlah kerugian kerana siasatan masih dijalankan.
“Kita masih cuba menghubungi pemilik-pemilik khemah perniagaan terbabit namun pihak bomba difahamkan aktiviti perniagaan di kawasan itu dijalankan tanpa kebenaran pihak berkuasa dan pemilik tanah,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.
Tambahnya, pihak pengurusan Transit Aliran Massa (MRT) turut berada di lokasi hari ini untuk melakukan pemeriksaan ke atas struktur landasan MRT yang terletak di atas lokasi kebakaran. – UTUSAN










