PETALING JAYA: Majikan-majikan ternama di negara ini tidak lagi mengutamakan penarafan universiti dalam pemilihan pekerja sebaliknya memilih graduan yang mempunyai kualiti dan berkemahiran tinggi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, pemilihan graduan sebagai pekerja baharu adalah berdasarkan kemahiran yang dimiliki dan majikan tidak melihat penarafan universiti.
Katanya, majikan mementingkan kebolehan pekerja baharu untuk berfikir secara kritikal dan kesediaan untuk mempelajari tugasan baharu.
“Graduan kelahiran tempatan sebenarnya lebih memahami budaya dan persekitaran pemikiran orang tempatan selain mereka sememangnya mengetahui serta mempelajari tentang undang-undang perniagaan dan sistem percukaian di Malaysia,” katanya.
Khamis lalu akhbar ini menyiarkan tulisan Prof. Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak tentang penarafan QS World University Rankings yang tidak lagi relevan ekoran timbul percanggahan dan ketidaktelusan terhadap penanda aras yang digunakan.
Sementara itu Penasihat Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Universiti Malaya dan Presiden Persatuan STEM Kebangsaan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Noraini Idris berkata, penarafan universiti tidak lagi diutamakan kerana majikan pada masa kini lebih menitikberatkan kualiti dan kebolehpasaran graduan.
Tegasnya, pihak industri lebih memerlukan graduan dengan kemahiran berkomunikasi yang baik, kreativiti tinggi, berkepemimpinan selain mampu memberikan impak besar kepada negara.
“Majikan lebih mengutamakan graduan yang mempunyai kemahiran dari segi komunikasi contohnya fasih berbahasa asing selain mampu memberikan idea yang bernas terhadap sesuatu isu atau organisasi.
“Hal ini kerana graduan yang berkebolehan dan kreatif dari setiap segi mampu memberikan sumbangan terhadap kemajuan sesebuah syarikat dengan mengaplikasikan ilmu yang dipelajari ke dalam bidang pekerjaan,” katanya. – UTUSAN