Pemuda UMNO akur keputusan pilih Raja Mohamed Affandi calon BN - Utusan Malaysia

Pemuda UMNO akur keputusan pilih Raja Mohamed Affandi calon BN

RAJA MOHAMED AFFANDI RAJA MOHAMED NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kemaman akur keputusan pimpinan Pusat memilih bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada 2 Di­sember ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketuanya, Zulkefli Abu Bakar berkata, jawatankuasa UMNO Bahagian juga bersatu hati menerima dan menyokong Raja Mohamed Affandi sebagai calon BN dalam PRK itu.

Sehubungan itu menurutnya, jentera Pemuda akan bekerja keras dalam usaha membantu Raja Mohamed Affandi memenangi PRK itu, seterusnya me­rampas semula kerusi yang di­sandang Pas sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Kemenangan BN dalam pilihan raya itu penting untuk memastikan terdapat wakil Ahli Parlimen dari Terengganu yang boleh diharapkan untuk membawa suara rakyat di Parlimen selepas ini.

“Pada masa sama, kemena­ngan tersebut dapat membantu mengukuhkan kembali Kerajaan Perpaduan dengan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Zulkefli menambah, Raja Mohamed Affandi juga bukan calon ‘payung terjun’ memandangkan beliau dibesarkan dan bersekolah di daerah ini.

Malah katanya, nama beliau tidak asing dalam kalangan penduduk di Kemaman kerana bekas Panglima ATM itu merupakan antara individu yang penting ketika daerah ini dilanda banjir buruk pada 2013.

“Ketika rakyat Kemaman di­timpa banjir besar, kami terputus bekalan elektrik dan komunikasi dan boleh dikatakan bandar Chukai ketika itu lumpuh kerana laluan dinaiki air.

“Beliaulah (Raja Mohamed Affandi) ketika menjadi Pang­lima ATM memudah cara de­ngan mengarah anggota tentera untuk membantu penduduk Kemaman dari segi pemindahan, penghantaran bekalan makanan demi keselamatan dan keselesaan mangsa banjir,” katanya.

Sementara itu Ketua Urusetia UMNO Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin berkata, jentera pilihan raya BN DUN akan memastikan jumlah undi yang bakal diterima Raja Mohamed Affandi tinggi bagi menjamin kemenangan calon tersebut.

Sehubungan itu katanya, beliau akan memastikan jentera pilihan raya BN akan menjalankan tugas dengan terancang dalam usaha memburu kemenangan tersebut.

“Saya akan membantu calon BN untuk berkempen menarik sokongan pengundi di seluruh DUN ini termasuk dalam kala­ngan pengundi Cina dan India,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN