Pemeriksaan polis tidak jumpa bom di sekolah 

Pemeriksaan polis tidak jumpa bom di sekolah 

Polis Diraja Malaysia (PDRM)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hasil pemeriksaan polis di tujuh sekolah antarabangsa di Selangor yang menerima ancaman bom, pagi tadi tidak menemukan sebarang bom di semua sekolah terbabit.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan menerima tujuh laporan polis berkaitan emel ancaman bom yang didakwa ditanam di tujuh buah sekolah.

Kata beliau, pengirim e-mel menggunakan nama [email protected] menghantar ancaman bom ke beberapa buah sekolah di daerah Kajang, Petaling Jaya, Kuala Langat, Subang Jaya dan Shah Alam.

“Sejurus sahaja menerima maklumat, pihak polis mengarahkan pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Polis Kontinjen Selangor untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya hasil siasatan di tempat kejadian sehingga pukul 1 tengahari hari tadi, pasukan UPB tidak menemukan sebarang bom yang tertanam di sekolah-sekolah yang dinyatakan. 

“E-mel tersebut adalah satu berita palsu yang mahu mendatangkan kegusaran kepada pihak sekolah dan ibu bapa.

“Sehubungan itu, pihak sekolah dan ibu bapa dinasihatkan supaya tidak panik sekiranya menerima emel yang menyatakan ada ancaman bom di sekolah,” jelasnya.

Kata beliau, mereka juga boleh melaporkan sebarang ancaman kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan lanjut dijalankan.

Tindakan itu, katanya bagi mengelakkan timbulnya kegusaran dalam kalangan masyarakat yang tidak mengetahui kesahihan maklumat berkenaan.

“Pihak polis masih lagi menjalankan siasatan bersama agensi lain seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan motif di sebalik emel palsu ini.

“Pihak polis memberi jaminan keadaan di kawasan sekolah dan persekitarannya adalah selamat. Keutamaan akan diberi dalam apa keadaan sekalipun bagi memastikan pelajar sentiasa berada dalam persekitaran yang selamat dan ibu bapa tidak perlu risau keselamatan anak-anak mereka,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai juga diingatkan agar tidak menyebarkan sebarang berita palsu kerana boleh mendatangkan kerisauan, kebimbangan dan mengancam ketenteraman awam.

Tambah beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya