Pemberian peruntukan kepada wakil rakyat Bersatu satu rasuah

Pemberian peruntukan kepada wakil rakyat Bersatu satu rasuah

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian peruntukan kepada ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) merupakan satu rasuah walaupun pernah dinafikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, segala pemberian tersebut tetap dianggap rasuah kerana ada wakil rakyat Bersatu tidak menerima peruntukan kerana tidak menyokong Perdana Menteri.

“Tetapi wakil rakyat Bersatu yang beralih sokong PM ke-10 mengaku mereka diberi peruntukan untuk kawasan mereka yang biasanya diberi kepada wakil rakyat Kerajaan sahaja.

“Ada pemberian lain juga diakui oleh wakil rakyat Bersatu. Segala pemberian ini tetap rasuah kerana yang tidak sokong Perdana Menteri tidak dapat,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengisytiharkan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ketika beliau mengajukan soalan tambahan dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Perkembangan itu menyaksikan terdapat lima ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri.

Sebelum ini, sokongan bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober lalu, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober lalu, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim (7 November) dan Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik (8 November).

Pelbagai pihak termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dilaporkan berkata, tindakan empat Ahli Parlimen itu tidak berkaitan dengan Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) yang melarang Ahli Dewan Rakyat untuk bertukar parti yang boleh menyebabkan mereka hilang kerusi di Parlimen.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN