Pembelajaran fleksibel kunci pendidikan masa depan

Pembelajaran fleksibel kunci pendidikan masa depan

Peserta MQAIC 2023 bersama Mohamed Khaled (duduk, tengah) ketika majlis perasmian persidangan antarabangsa itu di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Pendekatan ‘satu saiz untuk semua’ dalam pendidikan tinggi sudah tidak relevan dalam memenuhi keperluan pelajar pada masa kini dan masa depan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, paradigma baharu memberi tumpuan kepada kebolehsuaian, keterangkuman dan penjajaran dengan teknologi semasa dalam dunia digital.

Mohamed Khaled Nordin

Pendekatan baharu itu, katanya, menggalakkan pembelajaran antara disiplin, memupuk kreativiti dan penyelesaian masalah dan menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat (PSH) untuk menyesuaikan diri dengan pasaran pekerjaan yang berkembang dan keperluan masyarakat.

“Tiga anjakan paradigma diperlukan untuk menyediakan sektor pendidikan tinggi untuk masa depan yang relevan, berdaya saing dan bermakna iaitu laluan pembelajaran fleksibel, pendigitalan pendidikan tinggi serta pengajian tinggi berasaskan nilai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia 2023 (MQAIC 2023), di sini, hari ini.

Persidangan dua hari anjuran MQA dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dihadiri 300 peserta terdiri daripada pakar jaminan kualiti, pembuat dasar, ahli akademik, pegawai bahagian jaminan kualiti institusi pendidikan tinggi (IPT) dan pemain industri dari United Kingdom, Jerman, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Hong Kong, Taiwan, China serta Indonesia.

Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Prof. Dr. Azlinda Azman; Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansur serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Jaminan Kualiti) MQA, Prof. Ir. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari yang juga Pengerusi MQAIC 2023.

Pada persidangan sama, MQA turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Independent Agency for Accreditation and Rating (IAAR) Kazakhstan dan Higher Education Evaluation & Accreditation Council of Taiwan (HEEACT) untuk kerjasama dalam bidang jaminan kualiti.

Mohamed Khaled berkata, PSH menjadi antara agenda utama di Malaysia dengan pelbagai dasar dan inisiatif, termasuk platform pembelajaran terbuka dan jarak jauh (ODL), Pengakreditan Pembelajaran Pengalaman Terdahulu (APEL) dan penawaran kursus micro-credentials.

Mohammad Shatar (dua dari kiri) menunjukkan dokumen MoU bersama-sama Pengarah Eksekutif HEEACT, Prof. Dr. Kuang-Chao Yu sambil disaksikan oleh Mohamed Khaled (tengah).

Beliau berkata, inisiatif itu (PSH) bertujuan untuk meluaskan akses kepada pendidikan tinggi melalui kaedah dan penyampaian yang fleksibel sambil mengekalkan kualiti dan standard.

“Bagi pendigitalan pendidikan tinggi, kita harus menerima kepentingan pendigitalan yang memberi kesan mendalam kepada pelbagai aspek dalam kehidupan seharian.

“Inovasi digital memerlukan pendekatan pembelajaran digital holistik dan ia menggalakkan kerjasama global dalam kalangan pelajar, institusi, perkongsian penyelidikan antara universiti dengan industri dan pengiktirafan bersama antara bidang kuasa,” katanya.

Mohamed Khaled menambah, tumpuan pendidikan tinggi juga perlu berubah daripada fokus kepada kecekapan intelek semata-mata kepada pendekatan yang lebih dipacu nilai.

Katanya, paradigma pendidikan masa depan harus mengutamakan nilai teras yang membentuk individu yang beretika dan berdaya tahan moral, menyumbang kepada masyarakat dan pembangunan mampan.

“Malaysia komited untuk memupuk ekosistem pendidikan yang mantap dari segi akademik dan bertanggungjawab dari segi sosial dan alam sekitar.

“Transformasi pendidikan tinggi yang berkesan pada abad ke-21 banyak bergantung kepada komitmen kolektif IPT, kerajaan, ahli akademik, pemain industri dan semua pihak berkepentingan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya