Pembangkang perlu bina blok konstruktif –Fadillah Yusof

Pembangkang perlu bina blok konstruktif –Fadillah Yusof

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Ketua parti pembangkang perlu beri kerjasama untuk berjumpa dan berbincang dengan kerajaan dalam mengurus pentadbiran kerajaan dengan lebih baik. 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, saranan agar ketua-ketua parti pembangkang berjumpa dengannya bukanlah bermaksud menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri ataupun Kerajaan Perpaduan.

“Perbincangan itu bukan untuk menyokong Perdana Menteri, tetapi lebih berbincang bagaimana hendak menjalinkan kerjasama dalam mengurus pentadbiran kerajaan ini dengan lebih baik. 

“Kerajaan Perpaduan menyatakan keperluan untuk bekerjasama dengan blok pembangkang yang bersifat konstruktif bagi mentadbir serta menguruskan hal ehwal negara, pentadbiran kerajaan dan parlimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis anugerah sempena Global Muslim Business Forum di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK) Kuching di sini hari ini. 

Dalam perkembangan sama, Fadillah ketika ditanya mengenai kemungkinan peruntukan yang boleh disalurkan kepada pembangkang, Fadillah menjelaskan, perkara ini masih dalam peringkat perbincangan.

“Saya perlu berbincang dengan majlis kepemimpinan Kerajaan Perpaduan dan semua parti yang terlibat.. setelah itu, barulah kita tentukan apa yang dipersetujui untuk dikemukakan kepada kerajaan. Setakat ini, belum ada (kata putus),” katanya lagi. 

Malah, Fadillah berkata, jalinan kerjasama ini penting bagi menjaga hubungan murni antara kaum dan agama sekali gus menjaga imej negara. 

“Perkara yang kita hendak berbincang (dengan pembangkang), tetapi, pada masa ini belum ada (ahli Parlimen) yang berjumpa dengan saya kecuali Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Muar.

“Perbincangan kita (Syed Saddiq) adalah berkisarkan kepada rangka kerja, peruntukan, bagaimana kita hendak menguruskan kawasan dan sebagainya,” katanya lagi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya